Kepentingan Tarbiyyah Takwiniyyah Dalam Da'wah Islamiyyah



"...Dan hendaklah ada di antara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan ma’ruf (yang baik) dan melarang dari yang mungkar; dan mereka itulah yang menang..." (QS. Ali Imran:104)

Masalah Umat Islam

Pada saat ini masalah umat Islam berada pada tingkat yang paling parah. jika dilihat dari peringkat perjuangan Islam. Hal ini berlaku kerana wujudnya krisis kepimpinan yang ketara, dengan hilangnya sistem pemerintahan khilafah. Kaum muslimin menjadi sasaran musuh-musuh Allah yang cuba untuk menghancurkan peradaban dan kebudayaan Islam.

Lebih menakutkan keadaan, sebahagian besar daripada kaum muslimin sama sekali tidak menyedari hakikat ini. Mereka merasa tenang dengan keadaan ini dan merasakan telah cukup berjuang untuk Islam. Kebanyakannya masih tenggelam dengan kerehatan dan berpuas dengan kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi dari musuh-musuh Allah. Tanpa disedari, timbul satu lagi bentuk penjajahan iaitu penyerangan pemikiran (ghazwul fikri) dan pemurtadan umat, yang sedang berjalan dengan licin dan kencang. Kenyataan yang harus diterima di dalam hal ini walaupun pahit ialah pengetahuan kaum muslimin tentang Islam menjadi semakin lemah semakin hari.

Pada sisi lain pula kepatuhan dan ikutan terhadap kaum kafir akan melemahkan umat Islam. Sememangnya, kini sebahagian besar dari negeri-negeri Islam telah bebas dari penjajahan, tetapi pemikiran dan ideologi negeri-negeri itu masih berkiblat kepada musuh-musuh Allah. Kapitalisme masih menentukan sistem ekonomi umat Islam. nasionalisme membentuk politik yang mereka bangga-banggakan. Segala pemikiran dan ideologi jahiliyah itu, disebut sebagai sistem yang bersumber dari nenek-moyang mereka. Kelemahan lain yang didapati ialah kebanyakan pemimpin negeri-negeri muslim bukanlah orang yang mempunyai iltizam terhadap Islam. Bahkan kadangkala di antara mereka terdapat musuh dakwah dan umat Islam. Tiada yang berniat untuk menegakkan atau membela sistem Islam. Masing-masing mempunyai kepentingan, negeri-negeri muslim tenggelam dalam kancah pertikaian dan saling bermusuhan. Akhirnya umat Islam menjadi makanan enak kepada musuh-musuh Islam.

Takwiniyah - Jalan Penyelesaian

Dalam keadaan seperti ini, Allah menghendaki kaum Muslimin kembali kepada Islam yang sebenar, beriman dengan iman yang istiqamah, bertaqwa dengan sebenarnya, serta menyiapkan diri untuk mati di jalan Islam (husnul khatimah).

“Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu dengan sebenar-benarnya taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan berserah diri (Islam) kepada Allah”. (QS 3:102)

Inilah perintah Allah bagi setiap individu muslim. Mereka harus mempertahankan keperibadian Islam pada diri mereka. Untuk itu, mereka harus mengislamisasi kembali diri dan keluarga mereka menuju kepada terbentuknya masyarakat Islam.

Umat Islam mesti bangun semula dan sedar akan peranannya sebagai penyelamat ummah dan dunia, serta membangunkan peradaban positif. Mereka harus bangun dari tidur nyenyak dan melepaskan diri dari tilam empuk, tegak dan bangkit, kembali pada bimbingan dan pimpinan Allah. Untuk itu Allah mengisyaratkan:

“Dan berperanglah kamu semua dengan tali (Din) Allah dan jangan saling bercerai-berai, ingatlah nikmat Allah yang diberikanNya kepada kamu, ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan kemudian Allah menjinakkan di antara hati kamu, maka jadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. Dan padahal kamu berada di pinggir jurang neraka maka Allah selamatkan kamu daripadanya. Demikian Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya agar kamu mendapat petunjuk” (QS 3:103)


Ayat ini jelas mewajibkan kaum muslimin untuk:

1. Berpegang teguh pada satu ikatan (hablullah)
2. Bersatupadu, tidak bercerai-berai atau berpecah-belah
3. Sentiasa mengingat nikmat Allah yang telah menyatukan hati mereka dalam ikatan aqidah islamiyah
4. Menyuburkan ukhuwah islamiyah

Inilah jalan yang boleh menyelamatkan kaum muslimin dari kehancuran yang dinanti-nanti dan dirancangkan oleh musuh-musuh Islam. Untuk mencapai usaha di atas, Allah mewajibkan pembentukan suatu gerakan dakwah yang mampu mengajak manusia pada kebaikan, menyuruh mereka melakukan ma’ruf dan mencegah mereka dari perbuatan mungkar. Mereka harus memulakan usaha ini, membentuk umat yang memiliki kualiti tinggi dalam menegakkan Islam.

Dalam pembentukan umat dakwah ini, takwin memainkan peranan yang penting. Umat Islam mesti kembali mendidik suatu generasi yang mampu menampilkan islam dalam bentuk yang sebenarnya sebagaimana yang telah timbul pada zaman sahabah. Dasar dan jalannya ialah:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat yang mengajak kepada kebaikan yang menyuruh mengerjakan yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung” (QS 3:104)

Rujukan utama dalam melaksanakan ini ialah Rasulullah saw. Dalam perjalanan hidup Rasul dan para sahabat ridwanullahu alaihim, Allah telah menggambarkan suatu manhaj yang jelas dan cemerlang untuk membangun kembali umat ini. Dengan cara pembinaan yang dibuktikan oleh Rasulullah, nyatalah bahawa bentuk pembinaan (takwiniyah) harus merupakan tarbiyah islamiyah harakiyah (pendidikan Islam berbentuk gerakan). Hal ini lahir dan amat diperlukan tuntutan dari realiti umat yang kita hadapi sekarang mempuyai persamaan dengan keadaan di masa Rasul. Di samping itu, watak khas dari semua kitabullah adalah tarbiyah Rabbaniyah. Firman Allah:

“Tetapi jadilah kamu orang-orang yang Rabbani, oleh sebab kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu sentiasa mempelajari Al-Kitab”.(QS3:79)

Maka Al Quran menjadi sumber utama dalam takwiniyah. Setiap ayatnya menuntut untuk membangun generasi baru peradaban Islam. Bukankah ia membentuk peribadi-peribadi terbaik dan umat terbaik (khairu ummah)? Rasulullah bersabda:

“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkan Al-Quran”(HR Bukhari dan Muslim).


Tarbiyah Harakiyah Nabawiyah

Tarbiyah harakiyah merupakan salah satu fungsi kitabullah Al-Quran. Di samping ia sebagai kitabusyari’ah yang berisi hukum, peraturan dan undang-undang Ilahi, Al-Quran adalah pembimbing muslim untuk menempuh kehidupan yang sesuai dengan kehendak Allah. Di dalam kitab ini, terdapat pengarahan Rabbani yang memiliki pengaruh yang mendalam pada hati setiap muslim yang membacanya.

Tidak ramai orang yang dapat memerhatikan betapa tingginya nilai tarbiyah ilahiyah ketika turunnya ayat-ayat Al-Quran pada Nabi Muhammad saw. Terdapat di dalamnya rahsia besar yang mampu menghasilkan dakwah beliau. Sebagai Nabi, rasulullah adalah murabbi (pendidik) yang paling utama bagi umatnya. Generasi pertama ini, iaitu generasi sahabat ridwanullahu alaihim, telah mendapatkan bimbingan Ilahi ini. Tidaklah menghairankan jika

Rasulullah sendiri memberi penegasan:

“Sebaik-baik zaman adalah zamanku, kemudian yang berikutnya, kemudian yang berikutnya.” (Hadis Sahih)

Dari bimbingan pendidik utama ini lahirlah peribadi-peribadi unggul, tidak pernah ada dalam sejarah seperti mereka. Peribadi yang dibentuk Al-Quran, atau dengan istilah Sayyid Qutb “Jailul Quran al’farid” (generasi Qurani yang unik).

Apa yang menjadi pertanyaan kini ialah, “Bagaimana generasi unik ini dibentuk? Apakah pola pembentukannya dapat diulangi kembali sehingga mereka yang mengikuti pola ini juga dapat melahirkan generasi yang unik pula?” Pertanyaan ini merupakan suatu tajuk perbahasan yang menarik tetapi ulama Islam jarang sekali menyedari hakikat ini apatah lagi untuk menggunakannya. Hanya mereka yang menyelami dunia harakiyah islamiyah yang tertarik melakukan pembahasan terhadap masalah ini.


Intipati Takwiniyah

Tarbiyah yang dilakukan Allah terhadap rasulNya atau yang diwujudkan Rasulullah terhadap para sahabat adalah apa yang dikatakan sebagai tarbiyah takwiniyah. Istilah takwiniyah memang kerapkali muncul pada waktu kebelakangan ini. Intipati dari pembinaan nabi terhadap para sahabat jelas merupakan proses takwin. Tarbiyah takwiniyah adalah daya yang membentuk atau menjadikan kader yang mampu memikul tugas dan amanah dakwah dalam rangka menegakkan Din (Iqamatud din). Ia memiliki sasaran yang sangat jelas:

1. Terbentuknya syaksiyah Islamiyah yang menjadi teladan bagi manusia

2. Terbentuknya syaksiyah Da’iyah yang mampu menyeru manusia ke jalan Islam.


Sasaran Pembinaan Dakwah

Pemahaman terhadap Usul dinul Islam menjadi modal bagi kefahaman terhadap kesempurnaan Islam. Dalam pembinaan, langkah pertama adalah membentuk tasawwur (gambaran) dalam setiap mad’u. Tasawur itu seharusnya mencapai tiga kriteria:

1. Jelas, ertinya tidak ghumudh (samar). Islam yang disajikan dapat di faham dengan mudah, tidak berbelit atau sukar untuk difahami. Bila Islam itu diibaratkan sebagai sebuah rumah, maka harus jelas dasarnya. Ertinya, setiap bahagian Islam harus difahami dengan jelas fungsinya sehingga mempunyai kefahaman yang mantap dan jitu serta tidak meragukan lagi.

2. Benar dalam erti kata tidak salah, keliru atau menyimpang, seperti Islam yang difahami oleh salafus soleh, bukan Islam hasil daripada perancangan setengah ulama yang datang waktu kebelakangan ini terutama mereka yang belajar pada orientalis kuffar. Kebenaran bergantung pada sumber pengambilannya, iaitu kitab Allah dan sunnah RasulNya serta pendapat ulam-ulama yang mu’tabar. Jalan yang benar untuk memahami keduanya adalah jalan yang telah dilalui Ahlus Sunnah wal jamaah.

3. Menyeluruh (syumul) dalam erti kata tidak berpecah. Islam yang disajikan harus merupakan Islam yang utuh bukan sebahagiannya sahaja. Tidak dibenarkan percampuran di antara haq dengan batil. Sesungguhnya membentangkan sebahagian dengan percampuran dengan suatu pendapat yang lain adalah pengkhianatan terhadap Allah dan RasulNya.

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya (syaitan) itu musuh y ang nyata bagimu” (QS 2:208)


Membentuk Peribadi Muslim

Setelah memiliki tasawur dengan tiga kriteria ini maka langkah berikutnya ialah mad’u hendaklah berinteraksi dengan Islam, baik dengan teori-teori Islam ataupun makna yang terkandung dalam teori-teori tersebut. Interaksi ini wujud dalam empat bentuk:

1. Interaksi Islam dengan hati akan membentuk aqidah, keyakinan mu’min yang dipenuhi dengan iman.,dan kemampuan bersikap ikhlas kerana Allah. Ini termasuk mengingkari segala bentuk keganasan dan penghambaan manusia atas manusia, kemudian menegakkan pengabdian kepada Allah Yang Esa dengan dilandasi iman yang suci dan mantap.

2. Interaksi Islam dengan akal akan membentuk fikrah atau cara berfikir (ideologi) secara Islam. Fenomenanya mampu menjadikan Kitab Allah sebagai pembentuk fikrah. Ini termasuk juga unsur zikir, tafakkur dan tazakkur sekaligus. Dengan demikian ia berupaya memecahkan masalah hidup manusia, diri maupun masyarakatnya, dengan hidayah Allah.

3. Interaksi islam dengan perasaan akan membentuk selera Islami. Fenomenanya ialah menyenangi hal-hal yang mendekatkan manusia kepada Allah dan membenci segala hal yang menjauhkan mereka dari Penciptanya. Ia mengambil berat terhadap nasib kaum muslimin dimanapun mereka berada.

4. Interaksi Islam dengan perbuatan akan melahirkan akhlak yang mulia. Ia berupaya menjadikan dirinya bertingkahlaku dan berbudaya qur’ani. Fenomenanya terbukti dalam amal dan aktiviti seharian.

Keempat interaksi itulah yang membentuk peribadi seorang muslim. Bila islam telah sebati dalam dirinya, segala kegiatannya menjadi Islami

“Sibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghahnya selain dari Allah. Dan Kami hanya mengabdi kepadaNya” (QS 2:138)

Sesungguhnya islam hanya boleh diwujudkan dalam suasana Islami. Lantaran itu, proses takwin hanya boleh berjalan dalam kehidupan yang Islami. hubungan antara murabbi dengan mutarabbi, atau antara para murabbi itu sendiri mesti dijiwai dengan Islam.


Membentuk Peribadi Da’i

Keunggulan takwiniyah terletak pada kemampuannya menyiapkan kader yang bersedia berkhidmat untuk ketinggian Islam. Selama kurang lebih tiga belas tahun lamanya, madrasah Rasulullah hanya melahirkan sekitar lebih 300 rijal. Ini menunjukkan bahawa dalam proses takwin, kualiti dan bukan kuantiti dititikberatkan.

Peribadi-peribadi Islami yang terbentuk dengan program pembinaan di atas perlu ditingkatkan menjadi peribadi seorang da’i. Tentu sahaja dengan meningkatkan keadaan rohani, aqli dan suluki akan melahirkan seorang murabbi. Dalam pada itu, mad’u pun dilibatkan dalam harakah Islamiyah.

Penglibatan mad’u dalam harakah (pergerakan) dimulai dengan memberikan kesedaran terhadap suasana dunia Islam dan sebab-sebabnya. Ini terlaksana dengan menyampaikan gambaran usaha dan perancangan musuh menghancurkan islam wal muslimin. Kemudian mulailah diperkenalkan pada fiqhud-dakwah. Sedikit demi sedikit mad’u akan memahami penyelesaian cara islami terhadap pelbagai masalah yang dihadapi umat. Di samping itu, mad’u perlu memahami Tabiat Ma’rakah (pertembungan) antara haq dan batil. Sasaran yang hendak dicapai adalah kesediaan dan persiapan untuk berjihad di jalan Allah dengan jihad yang bermanhaj.

“Maka janganlah kamu taat kepada orang-orang kafir itu, dan berjihadlah terhadap mereka dengan jihad yang sebenar-benarrnya” (QS 25:52)

Dengan takwiniyah ini, diharapkan para mad’u akan dapat lahir sebagai murabbi yang dinamik. Mereka boleh menjadi syaksiyah mustaqimah (Peribadi beristiqamah) di tengah-tengah umat ataupun syaksiyah da’iyah yang menjadi teladan umat serta sumber pemikiran Islami.

Di samping para du’at, takwin juga menghasilkan orang-orang yang beriltizam dengan harakah dalam pelbagai disiplin ilmu yang diperlukan untuk membangun masyarakat Islam. Gerakan dakwah memerlukan agar potensinya menjadi kekuatan umat.

Apabila bilangan kader Islam ini telah mencukupi, maka jalan menuju terbentuknya kembali masyarakat islam terbentang luas di hadapan kita. Kewajipan kita untuk merelisasikan cita-cita mulia ini, kita doakan agar Allah memberi pertolongan sebagaimana yang telah dijanjikanNya untuk menolong siapa yang menolong (Din)Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa......

1 comments:

shashu said...

ana ada daurah sempena maulidur rasul, salah satu tentatif berkaitan tarbiyah takwinniyyah. so bila search first yang keluar is your blog. terima kasih sbb dpt share info ini.