0

Memahami Fiqh Ikhtilat...Sifarkah Ia?







In The Name Of Allah..The Most Gracious and The Most Merciful..


Assalamualaikum warahmatullah Wabarakatuh..



إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ اْلأَخْلاَقِ

“Sesungguhnya aku diutus oleh Allah untuk menyempurnakan budi pekerti....”
(Hadith Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, 2/318, dan Imam Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad no. 273, dari Abu Hurairah ra)


Semalam, belum sempat saya tidur dan offkan laptop saya, saya diberikan beberapa keping gambar dan ada yang meminta saya untuk menulis/mengomen topik berkenaan ikhtilat. Oleh kerana kekurangan ilmu dalam bidang fiqh, saya tidak dapat merumuskan topik ini secara lebih mendalam. Namun, diharap sedikit perkongsian ini dapat sama-sama kita jadikan panduan agar kita benar-benar memahami apa itu ikhtilat yang diizinkan dan apa itu ikhtilat yang diharamkan syarak. Saya menyokong penuh usaha rakan-rakan saya di Jordan melancarkan kempen besar-besaran Ikhtilat Sifar kerana mungkin yang mereka maksudkan di sini adalah Iktilat yang diharamkan, mafhumnya, Ikhtilat lelaki perempuan yang tidak terbatasi oleh syarak.

Sebenarnya, fiqh ikhtilat ini telah lama dibicarakan oleh tokoh besar umat Islam, iaitu Dr. Yusuf Al-Qardhawi hafizhahullah dalam kitab Fatawa Mu'asirahnya. Perbahasan yang telah dikemukan oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi sangat jelas dan bertepatan dengan keadaan dan masa serta kesesuaian peredaran zaman yang kita lalui ini.


IKHTILAT : APAKAH ITU?

Bahasa : Percampuran sesuatu dengan sesuatu. Berasal daripada perkataan "Khalato, Yakhlutu, Khaltan.."
(Ibnu Manzhur, Kitab Lisanul ‘Arab, Jilid 9, m/s. 120-121)

Istilah : Percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram di suatu tempat.
(Kitab Al-Mufassol fi Ahkamil Mar’ah, hal 3/421)

Untuk memahami dengan lebih mendalam, adalah elok kiranya kita meneliti Fatwa Kontemperer Dr. Yusuf Al-Qardhawi hafizhahullah berkenaan takrif ikhtilat di sisi syarak. Berkata Dr. Yusuf Al-Qardhawi dalam fatwanya :


"...Istilah ikhtilat dalam lapangan pergaulan antara laki-laki dengan perempuan merupakan istilah asing yang dimasukkan dalam "Kamus Islam." Istilah ini tidak dikenal dalam peradaban kita selama berabad-abad yang lampau, dan baru dikenali pada zaman ini. Jadinya, ini merupakan terjemahan daripada kata asing yang mempunyai konotasi tidak menyenangkan terhadap perasaan umat Islam. Barangkali lebih baik bila digunakan istilah liqa' (perjumpaan), muqabalah (pertemuan), atau musyarakah (persekutuan) lelaki dengan perempuan...."


Lebih memeningkan jika kita tidak lebih dahulu mengetahui siapakah mahram(orang yang tidak boleh dikahwini) serta bukan mahram(orang yang boleh dikahwini). Akan saya bawakan penjelasan kepada kita siapakah golongan ini dalam Islam. Hal ini disebutkan di dalam Al-Quran yang berbunyi :


حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالاَتُكُمْ وَبَنَاتُ الأَخِ وَبَنَاتُ الأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللاَّتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللاَّتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ اللاَّتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُواْ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلاَئِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلاَبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُواْ بَيْنَ الأُخْتَيْنِ إَلاَّ مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا


“...Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu, anak-anakmu yang perempuan, saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapakmu yang perempuan, saudara-saudara ibumu yang perempuan, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan, ibu-ibumu yang menyusui kamu, saudara perempuan sepersusuan, ibu-ibu isterimu (mertua), anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengahwininya, (dan diharamkan bagimu) isteri-isteri anak-anak kandungmu (menantu), dan menghimpunkan (dalam perkawinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuai yang telah terjadi pada masa lampau. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang..."

(An-Nisa : 32)

Islam sangat memandang kepada kemaslahatan ummah dalam menetapkan sesuatu hukum dan perkara, juga mengambil berat serta menekankan soal tujuan sesuatu perkara diwujudkan dan sangat berhati-hati dalam perkara-perkara yang membahayakan dan membawa kepada kecelakaan. Apabila berbicara soal ikhtilat, suka saya fahamkan anda di sini bahawa ikhtilat itu adalah haram secara mutlaknya sekiranya ianya membawa anda kepada bahaya/celaka seperti zina, rogol dan sebagainya. Mengapa saya sebutkan celaka di sini kerana dengan zina segala-galanya boleh terjadi. Buang anak, anak luar nikah, "ketagihan seks", dan lain-lain. Ada sesetengah ulamak mengharamkan ikhtilat secara mutlak kerana dibimbangi berlakunya kecelakaan yang saya sebutkan tadi. Hal ini ada kaitannya dengan satu kaedah fiqh iaitu Sadduz Zarai'ek yakni kita mencegah perkara yang boleh membawa kepada kerosakan yang lebih besar atau menutup pintu-pintu yang boleh mendatangkan fitnah.

"..Setiap perkara yang membawa kepada haram, maka ia adalah haram..."

Namun, dengan meneliti beberapa pertimbangan yang telah disebutkan dalam Fatwa Kontemperer Dr. Yusuf Al-Qardhawi, difahami di sini, sekiranya ikhtilat itu membawa kepada kebaikan seperti belajar atau demi menuntut ilmu, dan adalah dituntut sekiranya ianya bertujuan memacu ummah dalam melaksanakan dakwah dan perjuangan, nasihat-menasihati dan lain-lain yang membawa kepada maslahah ummah yang besar. Sesuatu perkara yang membawa kepada maslahah atau kebaikan untuk ummah adalah diharuskan di dalam Islam. Sebelum lebih panjang saya menerangkan topik ini, terdapat satu kaedah yang perlu kita semua fahami apabila memahami sesuatu hukum dalam Islam iaitu :

دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ

"...Menolak Kerosakan Adalah Didahulukan Atas Mendatangkan Kebaikan..."


Melihat kepada kaedah ini, pada hemat saya, adalah lebih baik kita menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang membawa kepada ikhtilat. Dibimbangi ikhtilat yang disangka ikhtilat yang diharuskan namun ianya membawa kepada ikhtilat yang diharamkan yakni pergaulan/percampuran yang membawa kepada zina, menghampirinya dan yang menjerumuskan kita ke dalamnya. Antaranya ialah sms, e-talk, majlis keramaian, majlis sambutan tahun baru di bandar-bandar dan lain-lain yang telah disalahmanfaatkan. Di samping itu, pokoknya juga adalah masalah hati. Sekiranya hati tidak diawasi, maka, akan terjatuhlah kita kepada ruang ikhtilat yang diharamkan. Apapun, untuk memelihara kita daripada terhumban kepada ikhtilat yang diharamkan ini, jadi, seharusnya kita mengguna pakai kaedah di atas. Membetulkan niat merupakan asas kepada berlakunya sesuatu perkara, baik buruknya, manfaat dan kurangnya. Niat yang disertai dengan ikhlas kerana Allah pada perkiraan saya tidak memungkin seseorang itu jatuh ke dalam ruang ikhtilat yang diharamkan. Seperti menghadiri kuliah-kuliah agama di mana berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan. Sekiranya niat seseorang itu pergi ke sana untuk bertemu mata, melepaskan rindu atau berapit-apitan dengan pasangannya yang bukan mahram, maka ianya adalah haram secara mutlak. Namun, sekiranya tidak dengan niat begitu dan disertai dengan batasan-batasan syariat, maka ianya dituntut sama sekali.

Ikhtilat Moden

Sepertimana yang kita ketahui, di zaman Baginda SAW tiada alat perhubungan, e-tools dan sebagainya seperti mana yang berlaku di zaman sekarang. Melihat kepada situasi ini, ada juga para ulamak yang mengkategorikan percampuran secara alam maya ini sebagai ikhtilat yang diharamkan, yang bukan didasari oleh keperluan, maslahah, dharurat dan sebagainya melibatkan syarak. Anda duduk di hadapan laptop, atau memegang handset, atau seumpamanya, berbual mesra dengan sms-sms pelik, atau chit-chat yang pelik secara beramai-ramai, maka hal ini adalah diharamkan sama sekali. Tiada bezanya sekiranya anda di luar alam maya mahupun anda di alam maya/internet. Hal ini mendatangkan kehendak syahwat dan saya memukul rata hal ini kerana lazimnya, remaja atau muda-mudi sangat-sangat mudah teransang syahwat mereka dengan perkara-perkara pelik seperti mana yang saya katakan tadi. Antaranya ber"sayang-sayang", atau bertukar-tukar gambar yang tidak menutup aurat dan sebagainya. Ini juga saya kategorikan sebagai ikhtilat moden yang diharamkan. Zahirnya kita tidak melihat percampuran, tetapi sebaliknya dan sebenarnya berlaku percampuran tapi di dua "benua" yang berbeza jaraknya.

Belajar : Bolehkah berlaku percampuran?

Begitu juga apabila membicarakan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram semasa belajar. Hal ini telah dibahaskan oleh sebilangan besar ulama' Islam. Ada yang mengharamkan percampuran di dalam kelas secara mutlak, ada yang mempertimbangkan kedudukan dan susunan, ada juga yang menggunakan kaedah yang saya sebutkan tadi (sadd al-zari'ah) yaitu menutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada fitnah. Dengan menghormati semua ulamak dan pandangan-pandangan mereka, saya akan bawakan beberapa dalil yang menjadi hujjah kepada pengharaman bergaul semasa belajar/percampuran. Dalil yang digunakan antaranya adalah dari Hadith Said Al-Khudri yang berbunyi begini,. Hal ini boleh dilihat di dalam Kitab Dr. Abdul Karim Zaidan, Jilid 3, m/s 431 :

"..Perempuan berkata kepada Nabi SAW : Golongan lelaki mengatasi kami ke atas kamu (orang lelaki sentiasa bersamamu mendengar hal-hal agama). Tentukan bagi kami satu hari bersamamu (untuk mendengar dan belajar), lalu Baginda menentukan satu hari untuk bertemu (mengajar) golongan perempuan, maka Baginda menasihati dan mengajar mereka. Di antara nasihat Baginda SAW kepada mereka : "..Sesiapa antara kamu golongan perempuan yang menyerahkan 3 anaknya untuk perang jihad dan anak itu mati syahid, pasti anak-anak itu menjadi penghalangnya dari api neraka. Seorang wanita berkata, kalau 2 orang? Baginda bersabda : walaupun 2 orang..."

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perempuan hendaklah diasingkan tempat belajar daripada lelaki. Sekiranya perkara ini dibolehkan, maka, tidak terjadi pula wanita tersebut meminta Baginda menentukan satu hari bagi pihak mereka untuk mendengar kuliah agama Baginda SAW.

Namun setelah diteliti hadith ini secara tepat dan mendalam, didapati ianya tidak boleh dijadikan dasar kepada pengharaman percampuran antara lelaki dan perempuan semasa belajar. Hujjahnya adalah kerana "ghalabana 'alaika ar-rijal" (lelaki mengatasi kami ke atasmu). Maksudnya secara umum,secara tabiatnya, lelaki sentiasa bersama Rasulullah SAW dan para wanita tidak mampu berbuat demikian atas sifat-sifat mereka yang terbatas dan fungsi mereka sebagai wanita. Ertinya, permohonan ini dibuat bukan atas dasar tegahan Baginda, tetapi, atas dasar sifat-sifat wanita yang menghalang mereka untuk sentiasa bersama Rasulullah, dan demikian itulah mereka meminta hari khusus untuk wanita sahaja di mana mereka boleh bersiap dan bersedia lebih awal dari segi masa, tanggungjawab mereka dan lain-lain.

Namun, kaedah pengharaman ini sebenarnya bergantung kepada satu kaedah fiqh yang saya sebutkan di atas tadi iaitu "Sadduz Zarai'ek". Melihat kepada situasi sekarang ini, remaja kini lebih banyak dipengaruhi dengan ransangan seks dan sebagainya, maka ramai ulamak yang mengambil kira bahawa perkara ini membahayakan. Jika kita lihat di sekolah-sekolah kebangsaan contohnya, ada antara mereka yang memakai baju sekolah sehingga menampakkan bentuk tubuh, ada yang jarang bajunya, dan sesetengah tempat pula tidak mengharamkan pakaian yang tidak menutup aurat seperti di sekolah jenis campur. Pelajar cinanya yang berskirt dan sebagainya. Maka dengan inilah para ulamak mengharamkan percampuran berlaku semasa belajar. Oleh itu, pengasingan tempat oleh beberapa negara seperti di Mesir, dan negara-negara Islam lain berpandukan kaedah ini.

Dharurat : Bagaimana?

Islam merupakan Din yang sangat mudah dan praktikal. Tiada paksaan yang diletakkan di dalam Islam. Seringkali saya ditanya bagaimana pula jika pergaulan itu berlaku kerana dharurat yang tidak dapat dielakkan?

Menurut Al-Imam An-Nawawi rahimahullah taala dalam Syarah Sahih Muslim, beliau menyatakan tidak wujud atau tidak ada perbezaan yang berlaku samada di luar solat atau di dalam solat. Maksud beliau adalah, percampuran wanita dan lelaki tiada bezanya samada ketika menunaikan solat mahupun semasa bekerja, berprogram dan sebagainya. Namun, Imam Nawawi membuka ruang untuk perkara-perkara yang dharurat serta mendesak.

Saya bawakan contoh di sini, sekiranya seseorang wanita itu pulang berseorangan dan diketahui umum bahawa kawasan yang dilaluinya berbahaya atau beliau akan terdedah kepada bahaya/ancaman jahat lelaki dan sebagainya, maka, di sini Al-Imam Nawawi mengatakan boleh seseorang lelaki yang bukan mahramnya menemaninya seketika bagi membantu, atau menjadi perisai sementara buat wanita tadi. Pokoknya adalah, kerana dharurat, dan niat lelaki tadi.

Keperluan/Ihtajiyyat Dalam Percampuran

Apabila menyebutkan perkara yang memerlukan kepada sesuatu hajat, sepertimana yang saya sebutkan di awal perbincangan tadi, maka, ikhtilat di sini dibolehkan, yakni dengan keperluan syari'e. Hal ini telah disebut oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi. Antara yang disebut beliau adalah :

1)Urusan Harta - Muamalah Maliyah
2)Urusan pekerjaan
3)Urusan penyaksian seorang wanita (menjadi saksi bagi sesuatu kes mahkamah)
4)Urusan dalam kenderaan (terpaksa bersempit-sempitan)

Sekiranya ditanya mengapa hal di atas dibolehkan, saya mengambil satu contoh bagi kes ke-2 iaitu Amirul Mukminin Umar Al-Khattab telah melantik seorang wanita sebagai penguatkuasa di sebuah pasar, dan kerja ini memerlukan kepada perbincangan, percakapan, pergalan antara dia dan para pekerja di pasar yang kebanyakannya lelaki. Namun perlu dilihat di sini mengapa Umar melantik wanita tersebut. Perlantikan ini dibuat bagi mengelakkan penyelewengan yang mungkin berlaku semasa berjual beli. Hal ini disebutkan oleh Al-Ima Ibnu Hazm rahimahullah dalam kitabnya Al-Muhalla, Jilid 9, m/s 429) Nama wanita yang dilantik oleh Umar adalah As-Syafiy. Namun, harus jelas kepada kita, walaupun di tempat kerja yang memerlukan perlbagai komitmen yang tinggi, tanggung jawab yang besar dalam menguruskan sesuatu hal yang memerlukan percampuran, perlu diingatkan di sini bahawa sekiranya dapat dielakkan, maka ianya adalah lebih baik dan sekiranya tak dapat dielakkan, maka, jagalah pandangan sesama lelaki dan perempuan agar tidak terpanah oleh panahan iblis. Pakaian, cara bercakap juga perlu dititik beratkan agar kita dapat menghindari perkara-perkara yang membawa kepada syahwat.

Khalwat dan Iktilat

Harus difahami di sini, khalwat berbeza dengan ikhtilat. Khalwat lazimnya adalah berdua-duaan sesama lelaki dan perempuan. Manakala ikhtilat berlaku antara 3 atau lebih dalam satu majlis atau perkumpulan.

Kesimpulan

Pada dasarnya, ikhtilat adalah haram kecuali apabila datang kepada kita beberapa perkara seperti dharurat, kemasalahatan, keperluan, dan kebiasaan adat setempat seperti kenduri atau majlis keramaian dengan SYARAT kita perlu menjaga batas-batas syariat seperti mana yang saya sebutkan tentang pakaian, menundukkan pandangan dan sebagainya. Maka ikhtilat ini dibolehkan dan diharuskan.


Wassalam

Dr. Nik Mohd Abduh B Nik Mhd Nor
Fakulti Perubatan Zagazig, Mesir




















Read more