0

Lembaran Baru Salafi Jihadi di Jordan?




Abu Muhammad al-Maqdisi

Oleh : Ust. Maszlee Malik

Lembaran Baru Salafi Jihadi di Jordan?

Abu Muhammad al-Maqdisi, juru cakap gerakan Salafi Jihadi di Jordan kini menjadi buruan para wartawan. Selepas pembebasannya dari penjara setelah berada di dalam tahanan selama 2 tahun(semenjak 2005) telah memeberikan seribu tanda tanya kepada para pengamat politik Timur Tengah, terutamanya mereka yang terlibat dengan isu keselamatan serantau. Sebagai mantan mentor kepada Abu Musab al-Zarqawi, mantan ketua gerakan al-Qaeda di Iraq, dan juga figur yang amat berpengaruh di dalam arus Salafi Jihadi di Jordan, pemikiran beliau mempunyai nilai yang tersendiri di dalam isu jihad dan keselamatan di rantau berkenaan.
Kali pertama beliau muncul di kaca televisyen adalah pada tahun 2005. Wawancara dengan televisyen al-Jazeera itu telah mengejutkan ramai pengikut al-Qaeda apabila Abu Muhammad bukan sekadar tidak menyokong tindakan ahli kumpulan berkenaan membunuh orang awam di Iraq, malah beliau juga menasihati mantan anak muridnya agar kembali ke jalan yang benar. Beliau menyeru agar para pejuang al-Qaeda di Iraq hanya menumpukan usaha mereka menentang tentera penjajah dan menjauhi pertumpahan darah sesama Muslim, samada Syiah mahupun Sunnah. Beliau juga menyifatkan banyak kejadian pengeboman ke atas warga awam, Sunni dan Syiah di Iraq yang dilakukan oleh al-Qaeda sebagai jenayah yang dilarang di dalam Islam.


As-Syaheed Al-Banna

Pembebasan beliau itu telah membuka spekulasi bahawa beliau telah berjaya dipengaruhi oleh pihak kerajaan Jordan untuk meninggalkan perjuangan yang beliau imani selama ini. Walau bagaimanapun, stesyen televisyen al-Jazeera telah berjaya mendapatkan kepastian dari sumber yang paling hampir dengan beliau bahawa tiada apa-apa perjanjian yang berlaku di antara beliau dengan pihak kerajaan Jordan. Sehingga kini sebab pembebasan masih menjadi tanda tanya. Beliau juga enggan ditemui oleh para wartawan untuk memberikan sebarang komen. Pihak kerajaan Jordan juga enggan memebrikan sebarang komen berhubung pembebasan beliau. Di sudut yang lain, pihak Human Rights Watch mengalu-alukan pembebasan tersebut. Mereka mendakwa penahanan beliau adalah tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang serta hak asasi manusia. Beliau tidak pernah melakukan sebarnag jenayah dan tidak pernah dibuktikan bersalah di mahkamah melalui penghakiman yang adil untuk dipenjarakan selama dua tahun tersebut.

Sayyed Imam


Syeikh Nasiruddin Al-Albani

Penganalisis politik dari Jordan, Samih al-Mu’ayatah menjangkakan bahawa al-Maqdisi akan membawa perubahan besar selepas ini. Beliau menyifatkan al-Maqdisi sebagai seorang pemimpin, juru cakap dan juga pemikir yang amat berpengaruh di dalam lingkungan arus Salafi Jihadi di Jordan. Apakah beliau akan membuat perubahan besar di dalam arus pemikiran Salafi Jihadi di Jordan sebagaimana mantan pimpinan gerakan Tanzim Jihad ataupun Gamaa Islamiyya di Mesir? Apakah beliau akan mengambil langkah seumpama Sayed Imam, pengasas Tanzem Jihad di Mesir dan juga mantan mentor Abu Ayman al-Zawahiri yang telah berjaya mengembalikan para anggota gerakan tersebut ke jalan yang moderat? Ataupun beliau akan menjadi lebih ekstrim kerana kekecewaan terhadap keadaan di bumi Jordan dan Iraq?

Arus Salafi yang mempunyai pengaruh yang amat meluas di Jordan sekarang ini terbahagi kepada tiga kelompok utama. Kelompok pertama yang amat lunak bersama kerajaan dan lebih dikaitkan dengan mantan anak murid ulama hadis terkemuka Nasirudin al-Albani, iaitu Syeikh Ali al-Halabi. Kelompok kedua merupakan kelompok sederhana dan lebih berbentuk massa. Kelompok ini tidak mempunyai figur kempimpinan tertentu, malah lebih merupakan arus pemikiran sahaja, yang mana kebanyakan ahli gerakan al-Ikhwan al-Muslimun dan juga rakyat awam merupakan pendokongnya. Kelompok ketiga yang lebih minoriti ialah kelompok Salafi Jihadi yang dikenali melalui figur-figur utama mereka seperti Abu Muhammad al-Maqdisi sendiri, Abu Qatadah yang pernah berada di UK, Abu Musab al-Zarqawi dan lain-lain figur veteran perang Afghanistan, Bosnia dan Chechnya.


-Boleh dilayari di : www.maszleemalik.blogspot.com
-Durham, UK.
-Sedang menyiapkan PhD



Read more