0

Fiqh 'Amal Jama' Di sisi IM


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang..



MENYOROTI KEPENTINGAN AMAL JAMA'IE


Oleh : Dr. Abduh

Alhamdulillah..di kesempatan cuti dua minggu yang Allah berikan ini, mudah-mudahan saya diberikan masa untuk mencurahkan sedikit masa untuk dikongsikan kepada para ikhwah. Sebelum pergi dengan lebih mendalam topik kita kali ini, suka kiranya ana katakan di sini, Al-Imam As-Syahid Al-Banna rahimahullah telah menjanjikan kepada para pendukung manhaj ini, bermula sahaja kita menapakkan kaki dalam dakwah ini, maka, segala macam bentuk ujian yang akan kita terima..jadi, buat para du'at, bersabarlah atas mehnah yang menimpa. InsyaAllah, Allah membeli jiwa-jiwa kita, dengan syurga-NYA..amin..

Sebelum saya memulakan perjalanan jauh, eloklah kiranya saya memberikan sedikit pencerahan dan penjelasan kepada para pembaca apakah maksud disebalik istilah-istilah yang akan saya gunakan sebentar lagi yang antaranya adalah jemaah, amal, tanzhim dan lain-lain.

TANZHIM : APAKAH IA?

Organisasi sesuatu kumpulan atau jemaah yang munazzhom/tersusun dan bergerak dengan manhaj yang jelas difahami dan mempunyai matlamat-matlamat tertentu yang jelas tidak melanggari syarak. Antara anasir sesebuah tanzhim perlu dilihat kepada beberapa sudut iaitu syura, bai'at, dan taat. Penubuhan tanzhim perlulah menepati nas syarak, dan ianya dapat menjamin kita merealisasikan matlamat yang masyru'ah.


AMAL : APAKAH IA?


Setiap perkara atau aktiviti yang ditentukan dalam dan luar tanzhim dan ianya diputuskan melalui beberapa sistem yang telah dipersetujui oleh tanzhim. Mestilah diputuskan tanzhim, bukan individu/personal opinion. Sekiranya ia datang dari individu, ia bukanlah amal jama'ie. Harus jelas di sini.


MANHAJ : APAKAH IA?

"...Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi’ien)…"
(Hadith Sahih riwayat Muslim no. 1965, Abu Daud no. 44)

Menurut Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah :

"...Sebuah jalan yang terang lagi mudah..."
(Tafsir Ibnu Katsir 2/63, Al-Mu’jam Al-Wasith 2/957).

Di sisi Al-Ikhwanul Muslimin, ia merupakan sebuah jalan yang terang lagi mudah, yang telah ditempuh oleh para sahabat Rasulullah SAW, tabi’in dan tabi’ut tabi’in di dalam memahami Ad-Din yang dibawa Rasulullah SAW, dengan cara, wasilah, pendekatan/uslub, bermethod, mengikut silibus, subjek, berfasa, dan rangkaan mengikut ciri-ciri dan pengalaman Al-Ikhwanul Muslimin memahami manhaj Rasulullah SAW.


اُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ وَالسَّـمْعِ وَالطَّاعَةِ وَاِنْ وَلَّى عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ ، وَاِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ مِنْ بَعْدِيْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيْرًا ، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ مِنْ بَعْدِيْ ، تَمَسَّكُوْابِهَاوَعَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ ، وَاِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الاُمُوْرِ، فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَـلاَلَةٌ ، وَكُلَّ ضَـلاَلَةٍ فِى النَّار

"....Rasulullah SAW telah memberi peringatan kepada kami sehingga membuat hati kami bergetar dan air mata berlinangan. Kami berkata: Wahai Rasulullah! Seakan-akan ini wasiat perpisahan maka berwasiatlah kepada kami.

Baginda bersabda: "....Aku wasiatkan kepada kamu agar tetap bertakwa kepada Allah, sentiasa mendengar dan taat walaupun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup antara kamu selepasku akan melihat ikhtilaf yang banyak, maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah ia dan gigitlah dengan gigi geraham. Aku peringatkan kamu tentang benda-benda yang baru kerana setiap yang baru itu bid'ah dan setiap yang bid'ah itu sesat..."
(Hadith Riwayat Al-Imam Ahmad, Turmizi, Abu Daud)


TAKRIF 'AMAL JAMA'IE

Amal/Perkara yang diputuskan oleh tanzhim jemaah yang tersusun berdasarkan manhaj tertentu untuk mencapai matlamat/hadaf tertentu.

Sudah tentu tanzhimnya dipilih dari kalangan mereka yang dipercayai, manhaj yang menepati manhaj Baginda SAW yang mengikuti Al-Quran dan Sunnah dan dalam mencapai matlamat tersebut, setiap amal yang diputuskan mestilah menepati syarak, dan perlu diingat matlamat yang ada tidak boleh menghalalkan sesuatu cara. Dalam mem"praktikal"kan amal, cara dan method perlu selari dengan Al-Quran dan Sunnah kerana matlamat yang tidak didokongi oleh sumber ini hanya akan menyebabkan berlaku banyak penyelewengan dalam tarbiah dan dakwah serta kesalahfahaman terhadap manhaj yang dibawa. Kekeliruan ini perlu dielak bagi menjamin masa depan dakwah dan jemaah. Sekali lagi ana tekankan :

الغاية لا تبرر الوسيلة
"....Matlamat sama sekali tidak mewajarkan wasilah/cara..."

RUKUN 'AMAL JAMA'IE

  • Setiap amal/perkara yang dikeluarkan mestilah melalui perbincangan, penghadaman, pro-kontranya dilumatkan oleh tanzhim.
  • Matlamat : Mendapat keredhaan Allah dengan menegakkan Sistem Islam.
  • Sasaran : 7 Marhalah Dakwah Al-Ikhwanul Muslimin iaitu Pembentukan Individu Muslim, Rumahtangga Muslim dan Masyarakat Islam, Mengislah Pemerintahan, Menubuhkan negara Islam, Kembalikan Khilafah Islam, dan Ustaziatul 'Alam.
  • Wasilah : cara dan methodology sunnah Baginda SAW yang diakui oleh syarak sepertimana yang dituliskan di atas. Setiap cara yang digunakan mestilah didasari oleh syarak, bukan matlamat semata.
  • Fasa : Peringkat yang ditempuh oleh jemaah dan tanzhim yang beransur-ansur/tadarruj dan berperingkat-peringkat. Fasa yang digariskan As-Syahid Al-Banna adalah Fasa Ta'arif, Takwin dan Tanfidz.


SYARAT 'AMAL JAMA'IE

Antara syarat-syarat yang perlu dikenalpasti :

  • Jemaah dan tanzhim yang sangat tersusun, berdisiplin, berperaturan, dan juga mempunyai sistem yang jelas.
  • Amal yang diputuskan telah dipersetujui oleh tanzhim dan jemaah.
  • Kerja-kerja amal yang dilakukan tidak mengganggu kerja-kerja asasi dan mengikut manhaj (Manhaji) seperti menyertai pilihan raya, tetapi tidak mengganggu kerja-kerja tarbawi walau sedikit pun.
  • Ada matlamat tertentu dan tujuan tertentu yang sudah pasti tidak melanggari syarak samada dengan nas syarak, ijtihad, dharurat dan rukhsah.

ADABIYAT 'AMAL JAMA'IE
  • Ukhuwwah
  • Taat
  • Istisyarah
  • Isti'zan
  • 'Alaniah / Sirr

HUKUM 'AMAL JAMA'IE

Wajib menyertai jemaah yang bertanzhim, jelas manhajnya. Wajib menggabungkan diri/intima' kepada jemaah tadi.

Kaedah Fiqh :

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "...Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain...."
(Yusuf : 108)

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
"...Sesungguhnya hukum dari sesuatu yang menjadi penyempurna daripada suatu kewajipan, adalah wajib..."


WALA' : APAKAH IA?

Individu yang menyertai jemaah tersebut perlu memberikan ketaatan kepada setiap arahan yang diberikan selagi tidak menyanggahi syarak dan kaedah-kaedahnya.

Ianya terbahagi kepada dua bahagian iaitu wala' 'ammah dan wala' khassah. Wala' Khas tidak boleh menyanggahi Wala' Umum. Ingat dan fahami sekali lagi, wala' khusus tidak boleh menyanggahi wala' umum.

نتعاون فيما اتفقنا عليه ونعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا عليه

"..kita saling bekerjasama atas perkara yang kita sepakati dan bertolak-ansur atas perkara yang kita perselisihkan..."


Apa yang dimaksudkan dengan perkara yang disepakati ialah perkara-perkara yang makruf, dan tidak bercanggah dengan syarak. Dalilnya adalah :

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِّرِ وَالتَّقْوَى

“...Saling bertolonganlah dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan....”
(Al-Ma`idah: 2)


manakala memberikan toleransi kepada perkara-perkara yang tidak disepakati perlu umum tahu bahawa apa yang Al-Imam Al-Banna maksudkan adalah toleransi di atas perkara-perkara yang diijtihadkan dan tidak boleh wujud rasa benci sekiranya tidak sependapat dengan apa yang kita yakini. Manakala dalam perkara yang tertutup pintu ijtihadnya, maka, dalam perkara ini perlu ditegakkan kebenarannya walaupun ianya pahit buat jemaah.

Wala' Umum :
Memberikan ketaatan kepada setiap arahan Allah dan Rasulullah SAW tanpa sedikitpun mengingkarinya. Menyintai setiap orang Muslim dan Mukmin serta mereka yang membantu agama Allah.

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ

"...Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)..."
(Al-Maidah : 55)


قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِيْنَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَآءُ مِنْكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَدًا حَتَّى تُؤْمِنُوا بِاللهِ وَحْدَهُ
“....Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersamanya; ketika mereka berkata kepada kaum mereka: ‘Sesungguhnya kami berlepas diri dari kamu dan dari apa yang kamu ibadahi selain Allah, kami ingkari (kekafiran)mu, dan telah nyata permusuhan dan kebencian antara kami dan kamu selama-lamanya, sampai kamu mau beriman kepada Allah semata...”
(Al-Mumtahanah: 4)


وْثَقُ عُرَى اْلإِيْمَانِ: الْمُوَالاَةُ فِي اللهِ، وَالْمُعَادَاةُ فِي اللهِ، وَالْحُبُّ فِي اللهِ، وَالْبُغْضُ فِي اللهِ

“...Tali keimanan yang paling kukuh adalah berwala' kerana Allah dan bermusuhan kerana Allah, cinta kerna Allah dan benci kerana Allah....”
(Hadis Riwayat Al-Imam At-Tabrani, Al-Mu’jamul Kabir no. 537, Dihasankan oleh Asy-Syeikh Al-Albani dalam As-Sahihah 1/728)

Wala' Khas :
Memberikan kecintaan dan ketaatan kepada satu tanzhim selagi tidak bercanggah dengan syara'.


INTIMA' : APAKAH IA?

Menggabungkan diri dengan jemaah dan tanzhim secara aqidi (akidah) dan meletakkan masa depan diri sendiri sama seperti masa depan dakwah dan tuntutannya di mana istilah lainnya adalah Masiri berdasarkan kepada keyakinan dan kejelasan serta faham manhaj yang dipikul. Tujuan paling utama memberikan intima' pada jemaah adalah untuk tidak lain dan tidak bukan mencapai Mardhotillah, bukan makhluk. Dan para ahli jemaah bersedia menerima segala arahan dan jalan kerja (Thariq Amal) yang diselaraskan serta digariskan jemaah.

Jenis-jenis intima' :

  • Fikri (pemikiran) - dasar yang dibawa disepakati oleh tanzhim.
  • 'Athifi (emosi) - meletakkan ukhuwwah, mahabbah sesama ahli dan mampu berlapang dada setiap masa
  • Tanzhimi (organisasi) - berperaturan dan disiplin serta bai'ah.

bersambung...insyaAllah



dr. abduh
Read more