Artikel ini dipetik dari laman : Muhammad Aiman Salmi
Mari kita menonton : Ustaz Maszlee Malik
Pengenalan
Rasanya saya agak terlambat untuk membangkitkan semula isu ini, tapi entah mengapa sebab rasa seolah dah tersentuh isu ini dalam perbincangan mengenai golongan tengah sebelum ini, rasanya elok juga saya kemukakan pandangan peribadi saya berkenaan isu ini.
Walaupun lambat, relevancy nya masih ada, sebab melalui perbincangan dan pembacaan saya secara umum berkenaan respon masyarakat yang peka berkenaan istilah ini (khususnya di kampus dan di kalangan aktivits gerakan da’wah) mereka seolah telah di misled…samada akibat salahfaham sendiri, disalahfahamkan oleh oleh lain, atau orang yang mengutarakan istilah itu sendiri yang mungkin salah ‘parking’ penggunaannya (saya tak pasti).
Salah faham
Kita sebenarnya di bawa ke persimpangan akibat dua perkara; samada memang pencetus istilah itu sendiri memang bermaksud bahawa istilah itu adalah seperti yang difahami oleh orang ramai, atau pemahamannya telah disalahfahami oleh orang lain. I would like to reserve it as it is. Biarkan situasi itu seperti itu. Tapi sekadar mengambil secedok-dua pandangan umum mengenai ummah centric yang cuba membawa maksud keutamaan harus difahamkan semula agar kita memfokus kepada kepedulian yang berkaitan ummah, dan tidak bersifat jamaah, dalam erti kata lain jamaah hanyalah alat, yang penting ummah. Mana-mana jamaah adalah sama, dan anda bleh pergi kepada mana-mana jamaah (ta’addud al-jamaah), sebab semuanya sama sahaja, dan bai’ah bukanlah isu yang penting di dalam memberikan keutamaan kepada ummah.
Itu, saya rasa pendapat umum bila dihadapkan dengan istilah yang canggih-manggih itu. Sekali imbas ada dua implikasi daripada fahaman itu, antaranya ia seolah ingin meletakkan dan menilai semula kedudukan jamaah dan fahaman jamaah-centric yang telah menjadi tonggak penting penyebaran kefahaman Islam di Malaysia (khususnya, tanpa menafikan kesannya di Negara-negra lain) dan membawa fahaman itu dekat atau cenderung kepada fahaman atau prinsip ‘salafi’ (betul ke sebegitu? Atau hanya sebahagian salafi sahaja yang berpendapat sebegitu?) yang tidak begitu prefer penggunaan jamaah dan banyak memahamkan istilah ‘jamaah’ dalam hadith-hadith berkaitan (‘alaikum bil jamaah) sebagai jamaatul muslimin kullihim.
Saya sebenarnya suka dalam memahamkan semula atau memberi pemahaman baru (kalau ianya tidak merupakan fahaman yang difahami sebelum ini..) berdasarkan pengamatan dan penyesuaian istilah ummah-centric ke dalam situasi dan keadaan-keadaan yang realitinya berlaku di depan mata kita. Sebab saya sedih sebenarnya bila pemahaman yang tidak tepat, telah membawa sebahagian ‘orang jamaah’ untuk menuduh pempopular istilah itu sebagai ‘seorang yang tidak berdisiplin di dalam jamaah’. Bagi saya ia (ungkapan itu) adalah tepat, menurut pemahamannya terhadap ungkapan yang dibuat (oleh pelopor istilah itu), tapi mungkin tidak tepat kalau ummah-centric dilihat berdasarkan kes-kes yang benar-benar berlaku di hadapan mata kita sendiri.
Study case
a) Menyorot kembali sejarah kegemilangan da’wah, kampus telah menjadi agen istimewa dalam mencorakkan dan mencetak kader-kader dan pendokong da’wah yang sangat komited dalam pemahaman Islam. Namun, as time goes by, sedikit demi sedikit bahkan sejak dari awal-awal lagi kita telah dapati adanya sentiment ‘persaingan’ (yang tentunya tidak sihat…) di kalangan organisasi da’wah untuk merebut ahli, antara lain dan sanggup menggunakan taktik-taktik yang tidak sepatut digunakan.Taktik kotor seperti memburukkan jamaah lain, membrain-wash anggota-anggota baru mengenai keburukan jamaah lain dan keutamaan jamaahnya (bahkan ada yang seawal minggu pertama kemasukan pelajar baru, yang mana sebahagiannya telah berjaya di tarik sebagai ahli, telah didedahkan dengan topic perbandingan jamaah. Apa ini semua?....sungguh kecewa saya dengan situasi ini), merosakkan majlis dan pertemuan jamaah lain (pernah berlaku dan anda jangan terkejut. Ke mana perginya kesantunan dan ketenangan…lapang dada, salamatus-sadr? Adakah anda rasa Islam akan berjaya dengan individu-individu yang sebegini?)
Saya secara jelas menyatakan bahawa memang benar tidak semua ini terjadi secara menyeluruh, dan tidaklah ia menggambarkan pendirian setiap organisasi dan kepimpinannya, namun jika ini situasi yang berlaku saya tidak hairan bahawa ini adalah hasil..atau outcome yang akan terjelma hasil kita memberi penekanan yang sedikit terlebih kepada faham jamaah-centric. Maaf sekiranya ini akan menggangu fikiran sebahagian daripada kita, tetapi sekiranya kita serius dalam memahami isu ini, kita akan mengambil langkah segera dan melakukan sesuatu yang lebih baik untuk memperbaiki keadaan.
b) Isu lain yang berkaitan dengan keperluan memahamkan faham ummah-centric ini adalah isu kepercayaan (thiqqah) yang wujud di kalangan aktivis pelbagai gerakan da’wah, yang saya dapati masih di tahap yang rendah, kalau tidak pun tiada sama sekali. Semua sedia maklum, masing-masing sedang berusaha menyampaikan Islam, namun seolah wujud ..the inner feelings yang macam tak nak meletakkan kepercayaan secara bersama…semua (tidak semua in the sense that memang semua, cume secara umumnya, bahkan mungkin saya sendiri…kadang-kadang tu terasa juga sebegitu) tak kiralah jamaah apa pun dia, kita seolah nak berselindung antara satu sama lain, bahkan sehingga ke tahap qaul atau statement daripada seseorang dari jamaah lain, tidak akan dipercayainya dan akan di buat kajian lain terhadap statement itu. Bahkan ada yang walaupun mengikut kata hatinya meminati seseorang (dalam usaha untuk mendirikan rumahtangga, yang kebetulan adalah dari jamaah lain) telah membatalkan hasratnya atas alasan berlainan jamaah. Lebih daripada itu, memang sehingga ke tahap seolah ingin bermusuhan sedangkan mereka sama-sama sedar yang mereka sedang memikul beban da’wah, akan tetapi bermasam muka, dan sebolehnya menjauhi antara satu sama lain. Ini mungkin tidak terjadi di peringkat pimpinan yang mungkin boleh nampak kerjasama dan keilkhlasan (itu berdasarkan pandangan luarlah, dalam hati saya no comment…saya Cuma ingin mengambil langkah berbaik sangka)…tapi kalau kita pergi ke akar umbi, isu ini semakin lama semakin parah, dan saya begitu sedih dengan situasi yang mencengkam. Saya secara peribadi tidak ada interest dalam membawa ke hadapan isu ini, tapi sekadar yang boleh saya buat ketengahkan rahsia umum ini, dan at least kita sama-sama sedar.
c) Antara perkaitan lain ialah persoalan kerjasama antara jamaah. Sedangkan isu thiqqah pun tak settle lagi, inikan pula kerjasama. Sedangkan secara jelas kesemuanya berpegang dengan statement: ‘bekerjasama di dalam perkara yang disepakati…”. Namun realitinya memang jauh sekali (saya tak menafikan di dalam persoalan yang bersifat global sikit khususnya isu Palestin, mereka sudah sedikit longgar dan bekerjasama) kalau ada pun hanya bersifat okasional, khususnya dalam menghadapi pilihanraya kampus (dan hakikatnya di lapangan umum pun begitu, di kalangan jamaah pun masih tak settle isu ni..) dan yang itu pun masih dok bergaduh tentang pembahagian tak sama, yang seorang nak kuasa lebih, yang seorang nak concur banyak kerusi, dan di kampus-kampus yang minority-pun tak dapat jalinkan kerjasama yang bersifat long-term.
Dan saya lebih suka membawa dan menghalakan kes study yang di atas kepada pemahaman semula fahaman ummah-centric yang saya cuba fahami ini. Sebenarnya semua situasi dan case study di atas membawa kita ke pada kesimpulan bahawa kita sebenarnya (dan memang hakikatnya ada, Cuma kalau ada yang nak menafikan, itu hak merekalah) ada masalah di dalam memahami pengertian jamaah, peranan, dan perkaitannya dengan kebangkitan ummat. Maka saya melihat bahawa ada peranan di situ yang boleh di isi oleh faham ummah-centric sebagai suatu pendekatan long-term dalam menyelesaikan permasalahan tadi (kecualilah kalau ada yang berpendapat perkara-perkara yang dibangkitkan bukanlah masalah pun).
Sekali lagi faham ummah-centic sebagai suatu pendekatan dan bukan ideology, maka sedikit sebanyak kita akan nampak perubahan dan pastinya ke arah kebaikan (harapnya begitu). Dan sebenarnya sebagai suatu pendekatan ia merangkumi aspek-aspek penting seperti ini:-
1. Berkaitan pemahaman
Ummah-centric adalah sebenarnya berkaitan mind set dan imagnasi kita. Ia adalah perkongsian dan kerjasama di peringkat minda dan akal. Kita, sekiranya sejak dari awal sudah bersedia menerima bahawa sebagai suatu jamaah kita bekerrja untuk ummah dan masyarakat. Jadi sebarang kerja yang di lakukan oleh mana-mana jamaah lain untuk ummah adalah juga kerja kita, maka seolah ia adalah suatu usaha oleh kita juga.
2. Berkaitan keperluan berjamaah dan disiplin di dalamnya
saya sebenarnya suka reserve it as it is berdasarkan fahaman masing-masing terhadap keperluan jamaah. Bagi saya umumnya, jamaah dalam erti kata sebenar akan menjalankan tugas dengan baik dan secara individu kita pastinya tidak mampu bekerja untuk menyampaikan Islam secara individu (dan itu sudah pasti, dan hakikatnya setiap orang yang claim kata dia berda’wah kepada Islam, samada dia cuba mengelak dan menafikan dia terlibat dengan jamaah, sebenarnya dia juga mempunyai jamaah sendiri…Cuma adakah terorganisasi atau pun tidak, itu saja. saya Cuma menyatakan hakikat secara lafdhi….siapa yang cuba menafikan, itu hak anda). Dan berlanjutan daripada itu, tiada halangan untuk anda berjamaah/ berorganisasi dan bahkan sekiranya anda berjamaah, maka tetapkan disiplin dan teguhlah di atas apa yang anda fahami. Ini bukan lagi persoalan. Tiada siapa yang cuba mengetengahkan pendapat tentang isu lompat jamaah. Sekiranya anda telah berada di dalam suatu jamaah, teruskan sekira anda rasa itu yang terbaik buat anda. Ini persoalan pemahaman individu tentang sesuatu perkara, sekiranya seseorang tidak faham, dan dia pula hanya terikut-ikut, maka itulah yang menghasilkan orang-orang yang digelar ‘mutasaqitun ala tariq ad-da’wah’-dek kerana hanya terikut-ikut dan tidak memahami dengan sebenar. (saya tidak berniat untuk menyentuh isu bai’ah dan implikasinya dalam persoalan al-wala’ wal bara’). Dan sekiranya anda tidak pula berkait kepada mana-mana jamaah, itu pun tidak menjadi masalah, asalkan ia adalah hasil pemahaman dan penelitian anda yang terbaik, dan yang pasti anda akan terus boleh bekerjasama dengan mana-mana jamaah yang juga bekerja untuk menyampaikan Islam, semudah itu (kalaulah semudah itu).
3. Ummah-centric adalah fahaman golongan tengah
seperti mana perbincangan saya mengenai golongan tengah dalam tulisan sebelum ini, ingin sekali lagi saya kaitkan dan jelaskan bahawa faham ummah-centric adalah fahaman yang dipegang oleh golongan tengah. Dalam erti kata ini, hasil fahaman yang jelas tentang fiqh keutamaan, dan pegangan yang jelas, golongan tengah tidak menolak akan kepentingan dan keperluan jamaah, bahkan sangat menggalakkan disiplin terhadap jamaah yang dipegangnya, tetapi dalam masa yang sama tidak menjadikan seolah segala yang datang daripada jamaah adalah terbaik dan betul sahaja, manakala pandangan daripada jamaah atau pihak lain adalah salah belaka. Inilah pemahaman tentang politic plus-plus (iaitu segala yang baik digerakkan bersama, regardless of dia datang dari pihak mana pun, dah nampak benda tu baik, buat je lah). Masalahnya sebahagian kita masih lagi terkongkong dan terperangkap dengan pendapat bahawa apa yang datang daripada pihak lain, walaupun betul dan baik, tetap tidak baik dan salah, manakala yang datang daripada jamaahnya walaupun kurang tepat, dianggap yang terbaik.
4. Islam vs. Jamaah?
Tentu sekali tajuk sebegitu pastinya eye-catching. Sebab seolah cuba nak mewujudkan conflict antara Islam dan Jamaah. Sebenarnya konotasinya bukan begitu, tetapi hamper begitu. Pendekatan Ummah-centric lebih melihat kepentingan dan keperluan ummat (Islam) berbanding jamaah. Namun sayangnya, masih ada di kalangan pendokong da’wah, bahkan pimpinan tinggi jamaah, yang masih tidak jelas akan hal ini. Bila diajukan soalan kepada mereka samada yang mana lebih diutamakan dan penting: Islam atau jamaah? Maka dijawabnya Jamaah!!! Ini yang menyebabkan saya cukup sayu dan masih tak faham bagaimana pimpinan jamaah yang memimpin begitu ramai pengikut masih tidak jelas dengan isu asas sebegini, antara memilih yang mana patut di utamakan dan ini adalah outcome daripada fahaman yang masih tidak jelas, dan penguasaan fiqh al-auwlawiyyat yang rapuh. Intipati kepada pendekatan ummah-centric ialah apabila isu berkaitan ummah perlu diutamakan, maka kepentingan jamaah harus diletakkan ke tepi, akan tetapi ini adalah antara masalah yang dihadapi (akan tetapi saya cukup menyokong sebarang kerjasama yang bukan sekadar bersifat okasional. Tetapi, some credit should be given to those yang dah bertungkus lumus mengambil peduli isu murtad, dan lain-lain).
5. Pendekatan mengenai mahabbah, toleransi, kasih sayang, dan thiqah.
Seperti yang sudah dinyatakan di awal-awal tadi bahawa antara lain masalah yang timbul hasil jamaah-centred approach, seolah telah menghasilkan suatu suasana yang kurang baik, atmosphere tak nyaman dan sebagainya, maka pendekatan ummah centric sebenarnya cuba untuk mengikat semula penggerak-penggerak dan aktivis da’wah secara keseluruhannya di bawah suatu rasa keterikatan dan kebersamaan, hasil dari mentality dan mind set yang jelas, dan akhirnya dapat menghasilkan perasaan dalaman yang selesa, bahagia, dan rasa percaya di antara individu dan seterusnya saling bekerjasama, yang tentunya bersifat long-term. Apa lagi yang diingini oleh semua melainkan rasa mahabbah dan mawaddah?...biar berlainan pendekatan, jalan dan cara berda’wah, yang pasti mungkin audiens kita mungklin berbeza, jadi mengapa harus berebut ahli? (masih ada kan?). Ya di samping selepas ini masing-masing buat kerja masing-masing, kita sama-sana kena mempertingkatkan kepercayaan dan at least lah salamah as-sadr di kalangan pendokong da’wah, dan tak ada lagi bermuka-muka atau bermasam muka (kenapa tak percaya ke berlaku? Turunlah ke medan dan perhatikan sendiri, especially kat kampus waktu pilihan raya…)
Kesimpulan
Pendekatan ini sebenarnya adalah kesinambungan fahaman golongan tengah, dan menghasilkan kata-kata seperti ini: ‘semua jamaah adalah baik, betul, Cuma yang terbaik dan yang aku rasa betul untuk aku ialah ini dan ini….’
Jadi, kalau dah sampai penerangan dan perbincangan panjang lebar ini, di mana masalahnya? Kalau ini dijadikan fahaman yang lebih baik berbanding istilah ummah-centric sebelum ini, di mana masalahnya? Apakah akan ada yang masih melihat idea atau pemahaman ini mencabar wibawa jamaah dan authority jamaah? Atau sebenarnya masih takut untuk menjalin kerjasama yang lebih erat? Sekurang-kurangnya, melalui pendekatan ini masalah pertembungan jamaah dalam isu-isu remeh dapat diselesaikan.
Jadi. Apa tindakan kita sekarang?
Amal Tajammu'i : Dimensi baru amal Islami
Maszlee Malik
"Dan golongan yang datang selepas mereka (Muhajirin dan Ansar) mengatakan: Tuhan kami, ampunkanlah kami dan juga saudara-saudara kami yang telah mendahului kami, dan janganlah jadikan dalam hati kami kebencian kepada mereka yang beriman, sesungguhnya Kaulah yang Maha Mengasihani dan Maha Menyayangi" (al-Hasyr: ayat 10)
Retrospeksi para pembaca terhadap artikel "Jamaah centric" di dalam majalah i keluaran Disember amat menggalakkan. Ada yang memuji, ada yang mengkritik, ada yang menyokong dan ada juga yang menyesatkannya. Itulah keindahan akal yang telah Allah berikan kepada umat manusia. Ianya berbeza-beza di antara satu manusia dengan manusia yang lain walaupun saiznya, bilangan selnya dan juga kapasitinya sama. Antara respon yang menarik ialah pertanyaan mengenai hakikat sebenar pendekatan " Ummah centric". Adakah ia bermakna kita tidak perlu berjemaah lagi untuk melakukan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah. Soalan ini merupakan soalan cepu emas yang akan ditanyakan oleh mereka yang terlibat aktif dengan amal-amal jamaah. Bagi mereka yang taksub jamaah dan tidak mahu membukakan fikiran dan hati, "ummah centric" merupakan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang telah mereka imani. Bagi mereka yang mempunyai kepentingan di dalam jamaah yang mereka ceburi, pemikiran ummah centric teramatlah membahayakan kedudukan mereka dan menghalang nafsu serakah untuk mendapatkan kekuasaan dan pengaruh.
"Adakah ummah centric bermaksud tidak perlu ikut jamaah lagi?", tanya seorang siswa kepada penulis. Apa agaknya jawapan yang sesuai?, adakah sememangnya ummah centric bermaksud tidak perlu ada jamaah dan tidak perlu berjamaah?, tidak sama sekali. Barangsipa yang berpendapat seperti ini, mereka silap dan mereka tidak membaca artikel jamaah centric secara teliti. Maka, bagaimanakah kedudukan jamaah-jamaah di dalam kerangka pemikiran ummah centric?, artikel ini akan mengupasnya.
Kerangka Baru
Jika menurut pemikiran "Jamaah centric" yang lapuk, seseorang yang terlibat dengan sesuatu jamaah akan merasakan, mendakwa dan beriman bahawa jamaahnya sahajalah yang terbaik. Pemikiran ummah centric pula tidak berfikiran sedemikian. Ummah centric menekankan konsep ummah dan juga kesatuan. Anda boleh jadi anggota PAS, anda boleh menggangotai ABIM, anda boleh "keluar" dengan jamaah Tabligh, anda boleh menjadi ulama di PUM, malah hatta menjadi ahli UMNO, dan juga mana-mana pertubuhan Islam sekalipun. Pokok utamanya, penglibatan anda di mana-mana jamaah mahupun pertubuhan Islam, tidak akan menjadikan anda lebih mulia dari orang lain. Sikap "Holier than thou" bukanlah satu sikap yang akan membantu para aktivis gerakan Islam untuk menghayati pemikiran "ummah centric".
"Ummah Centric" lebih mengutamakan ummah daripada jamaah dan kumpulan. Setiap muslim adalah "ikhwah" kita, "sahabat" kita, "rakan" kita dan juga saudara kita. Apa yang lebih utama berdasarkan paradigma pemikiran ummah centric ialah kewajipan bekerja untuk Islam di dalam ruang yang luas. Kepentingan Islam perlulah diutamakan berbanding kepentingan jamaah dan kumpulan semata-mata. Kegagalan projek Islam yang dibawa di dalam kerangka pemikiran jamaah centric perlu dipelajari dan digantikan dengan pemikiran ummah. Menghargai usaha dan pengorbanan pihak lain juga wajib diterapkan, agar kumpulan-kumpulan Islam belajar untuk mengiktiraf jasa orang lain, hatta musuh politik mereka. Adalah tidak wajar sesuatu kumpulan sentiasa skeptik dan curiga di atas usaha "orang lain" untuk Islam semata-mata pihak yang melakukan usaha tersebut bukan "orang mereka".
Tiga dimensi ummah centric
Sewaktu mengupas pemikiran "ummah centric", penulis telah mengemukakan tiga dimensi amal di dalam kerangka pemikiran tersebut. Pertamanya, para aktivis atau duat bekerja dan aktif di dalam jamaah atau organisasi yang disertainya. Di dalam organisasi tersebutlah dia mencurahkan optimum usahanya untuk dakwah dan juga usaha-usaha untuk mengembalikan kegemilangan syariat. Keperluan untuk berorganisasi amat penting di dalam usaha menjayakan strategi dan juga matlamat kepada amal islami itu sendiri. Tanpa organisasi, impak yang dapat dicurahkan oleh individu kepada dakwah dan usaha penegakan syariat akan menjadi begitu minimum. Walau bagaimanapun, keterlibatan individu dengan jamaah dan organisasinya tidak sekali-kali meletakkan beliau dalam kepompong taksub.
Pemikiran lapuk dan lama yang memandang hanya jamaah yang disertainya sahaja yang paling hebat dan yang paling utama perlu dibuangkan. Kewujudan pemikiran seumpama ini hanya akan membawa kepada keretakan dan perpecahan di dalam umat. Pemikiran seperti ini juga hanya akan menjadikan usaha-usaha penegakan syariat Islam tidak akan dapat disinergikan. Maka, untuk menggantikan pemikiran lapuk tersebut, "amal tajammu'i" perlu diperkenalkan dan diperhebatkan. Apakah amal tajammu'i, ianya akan dihuraikan di akhir artikel ini.
Dimensi kedua pula, seseorang individu itu tidak terkongkong hanya dengan satu jamaah atau organisasi sahaja. Beliau menjadi aktivis dan mencurahkan sepenuh tenaganya kepada semua organisasi atau jamaah yang beliau anggotai. Usaha dakwahnya tidak bersempadan. Jiwa dan juga upayanya adalah untuk semua organisasi. Kewujudannya adalah penghubung dan bukannya pelerai. Aktivismenya mengharmonikan dan bukannya merumitkan. Apa yang pasti, kemampuan seseorang untuk melakukan usaha seperti ini tidak ramai. Tidak ramai yang mampu melakukannya, samada kerana tidak mempunyai semangat yang cukup, mahukan waktu yang efisien untuk tujuan tersebut.
Sungguhpun begitu, bukanlah disyaratkan keberadaan seseorang duat itu di dalam banyak organisasi dalam satu keadaan, ini juga lebih dekat kepada mustahil, walaupun ianya boleh dilakukan. Berkemungkinan ada orang yang telah mencurahkan jasanya pada sesuatu organisasi, kemudiannya berpindah ke organisasi lain pula untuk menyumbang, dan begitulah seterusnya. Mengikut kepompong jamaah centric, orang-orang seperti ini akan dicop sebagai "katak", lompat jamaah atau juga tidak berpendirian (lebih teruk lagi, ada yang dicop sebagai pengkhianat perjuangan). Mengikut ummah centric pula, individu seperti ini adalah seorang yang berfikiran ummah, dan juga begitu dinamik serta tidak statik.
Dimensi ketiga pula, ialah kewujudan seseorang duat ataupun aktivis tanpa jamaah. Jamaah beliau adalah umat Islam secara keseluruhan. Beliau mungkin terlibat dengan aktiviti-aktiviti organisasi dan jamaah, tetapi beliau tetap bersendirian. Bersendirian beliau lebih memberikan beliau banyak peluang untuk menyumbang kepada umat dan Islam. Di dalam masyarakat duat, terdapat sesetengah individu yang sesuai dengan pendekatan ini. Kewujudan mereka di dalam organisasi kadang-kadang hanya akan membawa masalah dan juga kekusutan pada jamaah atau organisasi yang disertainya. Samada kerana pemikirannya yang mendahului masa, idealismenya yang tidak boleh difahami semua, ataupun karismatiknya akan lenyap jika diperamkan di dalam gerakerja berorganiasasi yang menuntut displin dan ketaatan yang tinggi.
Bersendiriannya pula tidak bermakna futur (lemah semangat), tetapi beliau terus menyumbang dan berjasa kepada dakwah, malah kepada organisasi-organisasi dakwah yang lain. Ramai di kalangan para ulama dan pemikir yang mempunyai sikap seperti ini. Pemikiran mereka lebih mudah diterima semua kerana sikap berkecuali. Spesis seperti ini tidak perlu ramai, dan tidak semua orang berbakat untuk menjadi seperti ini. Kewujudan spesis ini, walaupun diperlukan di dalam banyak keadaan, terutamanya untuk membawa pandangan yang neutral dan tidak bias, namun kebanjirannya juga merupakan satu masalah dan kerugian kepada umat.
Berdasarkan tiga dimensi di atas, terserah kepada kita untuk mengukur baju di badan sendiri. Kemungkinan ada di antara kita yang lebih cenderung kepada yang pertama, dan ada yang lebih selesa dengan dimensi kedua, dan mungkin juga ada yang lebih berbakat untuk dimensi yang ketiga. Tiada sesiapa yang boleh menghalang anda, namun yang perlu diingatkan ialah, di bumi mana pun kita berpijak, di dalam dimensi mana pun kita berada, dakwah dan usaha amar maaruf nahi munkar perlu terus berjalan dan digerakkan!
"Orang yang beriman lelaki dan orang yang beriman wanita, sesetengah mereka menjadi pembantu kepada sesetengah yang lain. Mereka menyeru kepada makruf dan menentang kemungkaran" (al-Taubah: ayat 73)
Amal Tajammu'i
Jika anda memilih untuk berada di dalam dimensi yang pertama, maka anda wajib memilih untuk mempromosikan ide amal tajammu'i. Apakah amal tajammu'i?
Amal tajammu'i merupakan evolusi kepada amal jama'i. Kerangka jamaah centric dan juga gaya pemikiran lama hanya berkisar pada amal jama'i. Lebih sedih, amal jama'i itu hanya menjurus kepada amal jama'i di dalam jamaah yang diimani oleh para pendokongnya sebagai yang terbaik, yang utama, yang tertua, yang terhebat dan lain-lain yang lagi...
Amal tajammu'i lebih kepada usaha bersepadu organisasi-organisasi Islam di dalam perkara yang mereka persetujui. Ia juga dikenali sebagai "amal Jabhah", iaitu usaha di dalam kerangka satu barisan atau front. Berbanding dengan amal jama'i yang banyak menumpukan usaha unilateral mana-mana jamaah, amal tajammu'i memerlukan usaha gabungan di antara jamaah-jamaah di dalam mencapai matlamat mereka yang satu.
Di Malaysia ini bukanlah perkara yang baru, namun masih memerlukan kepada peningkatan dan anjakan paradigma. GERAK, Barisan Alternatif, dan pelbagai usaha berorientasikan politik menunjukkan betapa amal tajammu'i ini telah dipelopori. Sayangnya, ianya hanya sekitar persoalan politik dan tidak hanya khusus kepada gerakan-gerakan dakwah. Satu insiden yang telah mencetuskan fenomena baru kepada amal tajammu'i di Malaysia ialah persitiwa penghinaan terhadap Islam dan Rasulullah SAW oleh sesetengah individu di Malaysia. Buat pertama kalinya, pelbagai organisasi Islam telah mula bersatu untuk menghantarkan memorandum dan melakukan usaha bersepadu.
Pengalaman amal tajammu'i Malaysia
Kemunculan arus Islam liberal, feminisme ekstrim, kelancangan sesetengah pihak di dalam mencabar hak umat Islam di Malaysia lewat isu IFC, artikel 121(1) A dan juga IFLA (Islamic Family Law Ammendment) juga telah menyaksikan kesinambungan daripada usaha amal tajammu'i ini. ACCIN merupakan antara model yang menarik di dalam amal tajammu'i. ACCIN yang merupakan gabungan 14 pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO) telah berjaya membina satu jaringan kerjasama dan juga usahasama di dalam membawa usaha dakwah di Malaysia. Bermula dengan isu-isu dakwah kepada bukan Islam, isu murtad, isu IFC dan terakhir sekali isu campurtangan media di dalam urusan umat Islam. ACCIN tidak ketinggalan turut serta di dalam semua isu-isu tersebut. Peranan yang pro-aktif oleh ABIM, JIM, PUM serta badan-badan Islam lain sebagai reaksi kepada isu-isu semasa juga merupakan di antara petanda-petanda awal kematangan amal tajammu'i.
Walau bagaimanapun amal tajammu'i yang disebutkan itu hanyalah berorientasikan isu dan bukannya berdasarkan ruh kesatuan amal yang diharapkan. Masih lagi ada di dalam agenda masing-masing ingin menjuarai, ingin mengetuai, ingin menonjol dan juga lain-lain perosak kesatuan. Amal tajammu'i yang berjaya ialah usaha yang dapat meleburkan kebanyakan aktiviti organisasi-organisasi tersebut di dalam satu matlamat yang ingin dicapai. Ianya juga dapat memastikan usaha pengrekrutan ahli jamaah-jamaah tidak akan menjadi pertandingan "memancing ikan" di kolam. Ianya juga dapat memastikan persoalan kepimpinan bukannya isu utama. Ianya juga dapat memastikan ahli-ahli jamaah dapat tidur sebantal, makan setalam, main sepadang dan juga bertepuk tampar dalam keadaan yang ikhlas dan bukannya dengan agenda lain yang tersembunyi di hati.
Banyak usaha yang boleh diterokai bersama untuk menjayakan amal tajammu'i. Sukan Islam peringkat nasional, TV Islam, filem Islam, sastera Islam, hospital Islam, dakwah non-muslim, isu Palestin, isu wanita, isu hak asasi manusia, isu pendidikan dan 1001 ruang yang boleh diterokai bersama oleh gerakan-gerakan Islam untuk tujuan amal tajammu'i.
Cabaran
Mungkin coretan artikel ini nampak mudah dan simplistik, namun realitinya agak sukar. Ketebalan pemikiran jamaah centric dan juga realiti bekerja di bawah kerangka "jamaah" dan "amal jamaa'i" bukan mudah untuk diubah. Ibaratnya, muka boleh tersenyum, namun hati siapa yang tahu. Oleh yang demikian, untuk menjayakan amal tajammu'i ini pelbagai perkara perlu diambil kira. Antaranya ialah:
a) Keikhlasan para pejuang:
Keikhlasan di dalam beramal, ikhlas lillahi ta'aala, untuk Islam, untuk Allah dan bukannya untuk jamaah.
b) Perasaan taksub yang perlu disingkirkan jauh-jauh dari hati para aktivis :
Perasaan taksub, samada kepada kumpulan, fikrah, jamaah mahupun pemimpin pastinya akan menggagalkan inisiatif "amal tajammu'i" ini.
c) Fikiran terbuka:
Para aktivis perlu berfikiran terbuka, samada di dalam menerima pendapat kumpulan lain, orang lain, mahupun musuh dakwah. Perasaan "aku sentiasa benar" akan menghalang kejayaan amal tajammu'i. Para aktivis dan organisasi perlu terbuka menerima ide dan juga kritikan serta bersikap terbuka juga di dalam melontarkan kritikan.
d) Besedia untuk mengalah:
Antara faktor yang sering membawa perbalahan di kalangan organisasi dakwah juga ialah sikap keras kepala dan enggan mengalah. Prinsip syura perlulah sentiasa diutamakan, dan kesediaan untuk bersikap "ithar" kepada jamaah lain perlu ada. Janglah "ithar" (berkorban demi orang lain) itu hanya dimonopoli sesama ahli jamaah sahaja.
e) Bersedia menerima perubahan:
Amal tajammu'i juga memerlukan pengorbanan untuk berubah. Perubahan dari segi sikap, strategi, struktur dan juga yang lebih penting ialah perubahan mentaliti.
Banyak lagi perkara yang boleh dilontarkan di dalam memperkayakan gagasan amal tajammu'i ini. Apa yang dilontarkan penulis ini hanyalah coretan yang serba kekurangan dan penuh dengan kelemahan. Diharapkan ada individu yang lebih berkelayakan untuk menambah, membetulkan yang silap dan juga memperelokkan ide " amal tajammu'i" ini. Bagi mereka yang terlibat secara langsung dan aktif di dalam usaha-usaha amal tajammu'i sudah tentulah ide-ide mereka jauh lebih bernas. Semoga dengan usaha yang kerdil ini akan membuahkan hasil kepada perlaksanaan syariat Islam di bumi Mlaysia satu hari nanti. Mungkin pada tahun 2020, siapa tahu