4

Perjuangan Yang Masih Belum Selesai





mereka merupakan sahabat-sahabat seperjuangan sewaktu di Malaysia dahulu..biarpun jarak dan waktu memisahkan kita..tetapi roh Ukhuwwah itu tetap ada dan terpelihara..


DAKWAH DAN HALA TUJU..

Oleh : Dr. Nik Mohd Abduh Ibn Nik Mhd Nor

Manusia tidak dapat lari daripada menerima hakikat bahawa dakwah itu merupakan satu kewajipan. Dakwah tidak mengenal usia, tua, muda, miskin atau pun kaya, terpelajar mahupun tidak. Dakwah dan rohnya tetap mekar walaupun tiada yang berani menyambutnya. Manhaj nubuwwah yang telah dibina Baginda SAW merupakan manhaj yang terbaik dan paling ideal untuk dipraktikkan, sesuai dengan peredaran zaman dan tidak pernah luput dimamah waktu. Dakwah Baginda SAW yang berlangsung selama 23 tahun telah mendidik manusia serta membawa mereka keluar daripada kejahilan, kefasadan dan kegelapan kepada cahaya dan sinar kemuliaan. Kegemilangan dakwah Baginda SAW masih terasa bahangnya bagi mereka yang menjiwai dan menghayati serta turut sama memperjuangkan risalah Baginda SAW ini.


Apa yang menyedihkan, generasi terkemudian ini kian melupakan tanggungjawab mereka terhadap tuntutan dakwah dan menganggapnya hanyalah sesuai untuk 1400 tahun terdahulu sahaja. Dakwah Nabi hanya sebuah sejarah yang tercatat di buku-buku peradaban dunia. Kalaupun ianya terpatri di dalam buku karangan para ulama', ianya hanya menjadi bahan belian yang diletakkan di rak-rak untuk dijadikan bahan pameran atau tontonan atau lebih buruk lagi hanya sekadar perhiasan demi mencantikkan rak-rak buku di ruangan rumah. Ketahuilah wahai umat, nikmat Islam ini tidak dapat dirasakan sehingga kini melainkan dengan adanya golongan yang meneruskan risalah ini dan terus memandu manusia. Dakwah ini tidak kenal henti walaupun tiada yang berani untuk menyambutnya. Dakwah ini tidak pernah mengenal erti penat dan lelah. Dakwah ini akan terus berlangsungan dan hanya mereka yang benar-benar bersedia dan sanggup sahaja yang mampu memikulnya. Bukanlah dakwah ini menuntut kesenangan, kerehatan, akan tetapi, sesiapa yang memikulnya perlu menerima hakikat bahawa dengan setapak kita melangkah ke relung ini, dengan itulah pelbagai rintangan, halangan, kesusahan, kepayahan akan menjengah dan terpaksa kita telan.

Berteori sememangnya mudah, namun, praktikaliti menuntut sesiapa yang sanggup dan hendak memikulnya, memahami beberapa titik noktah penting yang harus mereka cerna dan hadam. Antaranya adalah :


Tasawwur : Perjalanan dan Perjuangan Yang Jelas

Bagi mereka yang meyakini bahawa dakwah merupakan suatu yang praktikal dan tidak hanya kepada teori semata, mereka perlu menyediakan suatu tasawur dakwah yang jelas, terang dan memudahkan mereka untuk terus bergerak. Tasawur kepada manhaj, amal, perjalanan serta hala tuju yang jelas sahaja yang mampu membawa manusia kembali merasai sistem khilafah yang telah lama hilang. Adapun manhaj dan perjuangan yang tidak jelas, tanpa perancangan, kabur tujuan, sering berpindah-pindah matlamat, terlalu mengikut arus hanyalah akan membebankan pemikulnya, meletihkan ummat dan bahkan boleh membawa kepada sia-sia sahaja. Mengapa sia-sia? Kerana masa yang sepatutnya diisikan dengan sebaiknya, secermat mungkin, sebaik mungkin telah terbazir kerana tiada perancangan dan strategi yang mapan. Manhaj, jalan dan hala tuju perlu diselaraskan dengan Al-Quran dan Sunnah serta sesuai dengan dasar perjuangan Baginda SAW. Dakwah merupakan suata perkara yang dharuri di mana ia memerlukan penelitian yang mendalam, perancangan yang jitu dan medan amal yang terang. Sesebuah pergerakan Islam harus memahami bahawa mereka perlu mempunyai misi dan ghayah serta hadaf yang jelas bagi melaksanakan dakwah dan tarbiah. Gambaran yang jelas tentang perjuangan sesebuah harakah Islamiyyah amat penting kerana bagi mereka yang ingin melaksanakan dakwah, tarbiah mendidik manusia, mereka perlu mengetahui apa yang sepatutnya dilakukan, apa yang tidak sepatutnya, apakah tuntutan semasa terhadap perkara yang berlaku di sekeliling dan mungkin pada masa akan datang dan apakah setiap tindakan yang hendak dilaksanakan selaras dengan tuntutan dakwah dan perjuangan gerakan yang disertainya.


Fikrah Islam Semata-Mata

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna rahimahullah pernah menyebutkan, "...sesungguhnya dakwah Ikhwanul Muslimin adalah dakwah salafiyyah… tarekat sunniyah… hakikat sufiyyah…dan badan politik…
(Majmu’ah Rasa`il, hal. 122)

Bagi mereka yang tidak memahami apakah maksud As-syahid, mereka dengan mudah akan menjadikan slogan ini untuk menghentam para ikhwani dengan mengatakan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna mencampur adukkan kebatilan dan kebenaran lantas menggunakan beberapa potong ayat quran. Di sini, As-Syahid menerangkan kepada kita bahawa dakwah yang berlansungan ini perlu jelas dan fikrah yang hendak dibawa adalah fikrah Islam semata-mata. Dakwah ini telah dipelopori oleh golongan salafus saleh, dan para sahabat Baginda SAW.

Fikrah yang hendak dibawa oleh sesuatu gerakan Islam wajib menelusuri kaedah, methodology, uslud, gaya, pemahaman, perancangan, adabiyyat dan lain-lain perkara yang menjadi teras kepada gerakannya mestilah dipandui oleh Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah SAW. Al-Imam Malik rahimahullah taala telah berkata, "....Sesuatu yang di masa sahabat bukan sebagai agama, maka hari ini juga bukan sebagai agama....”
(Al-Fatawa, 4/5 dinukil dari Hukmul Intima`, hal. 165)



Al-Wala' dan Al-Barra'


أَوْثَقُ عُرَى اْلإِيْمَانِ: الْمُوَالاَةُ فِي اللهِ، وَالْمُعَادَاةُ فِي اللهِ، وَالْحُبُّ فِي الله

“....Keimanan yang paling kuat adalah berwala' kerana Allah dan memusuhi kerana Allah, cinta kerana Allah dan benci (juga) kerana Allah....”
(Hadith Riwayat Imam At-Tabrani dalam Al-Mu’jamul Kabir no. 11/537)

Tidak ramai yang memahami tentang hal ini. Wala' adalah memberikan kecintaan sepenuhnya dan ketaatan sepenuhnya kepada Allah, arahan-arahan-NYA dan juga kepada Rasulullah SAW dan risalahnya. Manakala Al-Barra' adalah menyatakan kebencian terhadap thagut, jahiliyyah, musuh-musuh yang menentang Islam secara jelas mahupun tidak dan segala macam kemungkaran yang dilarang oleh Allah dan Rasulullah SAW untuk ditinggalkan. Sesebuah harakah Islamiyyah seharusnya menyedari bahawa setiap gerak kerja dan dakwah mereka tidak dapat tidak akan bertembung dengan kebatilan yang sentiasa memburu mereka. Dalam meneruskan kerja-kerja Islam, mereka akan bertembung dengan syubuhat-syubuhat yang akan ditimbulkan bagi mengelirukan kerja-kerja dakwah mereka. Apa yang dibimbangi adalah apabila mereka tidak mampu membezakan mana satu yang perkara yang wajib diwala'kan dan mana satu yang sepatutnya dibarra'kan. Kekeliruan dalam memahami konsep ini boleh menggelapkan lagi masa depan dakwah dan perjalanan sesebuah gerakan Islam.

Ada kalangan dai yang tidak dapat membezakan yang mana hak dan yang mana batil sehinggakan mereka terjerumus sama dalam memberikan ketaatan kepada perkara-perkara yang tidak pun Islami. Antara contoh yang jelas dan ketara apabila mereka menganggap memperkatakan perihal keburukan sesuatu jemaah lain adalah dibolehkan demi menjaga maslahat ummat dan jemaahnya sendiri. Apakah terdapat arahan-arahan dari Allah mahupun Baginda SAW yang membenarkan membuka pekung serta aib saudara Muslim kita sendiri? Sekiranya hadith tentang adab-adab meminang dalam Islam lah yang diguna pakai, maka, bercelarulah cara pemikiran sedemikian. Ini kerana, hadith tersebut hanya boleh dipakai untuk mengelakkan sesuatu perkara buruk yang lebih besar yang tidak diingini berlaku. Maka disaat itulah kita dibolehkan memperkatakan perihal seseorang/kerajaan atau yang seumpamanya. Apakah kewujudan jemaah-jemaah daripada jemaah Islam hari ini merupakan bala' dan bencana dari Allah dan seharusnya dihapuskan agar tinggal satu sahaja? Sekiranya "maslahat" lah jawapannya, maka, kita tanyakan kembali, apakah "maslahat" yang cuba ditegakkan sebenarnya..Apakah kita mati kerana jemaah atau kita mati kerana agama ini? Memberikan kecintaan kepada para pejuang Islam yang tidak bersama dengan jemaah kita juga adalah dituntut. Ini kerana, perlu kita fahami bahawa jemaah hanyalah wasilah dan pemudah cara agar dakwah Islam itu sampai kepada masyarakat. Bukannya kerana jemaah kita menghilangkan wala' kita kepada arahan-arahan Allah supaya berbaik-baik dan berdamai sesama muslim. Sungguh tidak dapat diterima sekiranya kecintaan kita terhadap jemaah yang kita ikuti telah mengatasi rasa cintanya kita terhadap para pejuang islam lain sehingga sanggup untuk menelan apa sahaja "cakap-cakap" orang tentang saudara semuslim kita hanya kerana kita tidak serumpun dalam perjuangan (methodology). Ataupun, kita lah yang suka memulakan "cakap-cakap" bagi menampakkan keburukan pada saudara muslim kita yang tidak kita senangi hanya kerana beliau di satu sudut / jemaah yang lain. Kisah Hassan Al-Banna sudah cukup untuk menjadi teladan kepada kita dalam menyelesaikan permasalah solat sunat tarawih. Kisah ini sudah umum diketahui oleh para dai dan tidak perlu diulas panjang. Pokoknya, mengapa kita tidak bisa mengutamakan persaudaraan islam berbanding lebih suka untuk melemahkan lagi usaha dakwah orang lain.

Antara lain adalah menganggap perbincangan agama merupakan perkara yang remeh-temeh dan tidak perlu diambil kira. Akibatnya, masyarakat semakin lari daripada ketaatan mereka kepada Allah dan Rasul-NYA. Masyarakat hampir-hampir kabur serta tidak jelas tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam sehinggakan menamakan sesuatu perkara yang tidak pun Islami dengan slogan-slogan "tidak salah", "tak mengapa" dan lain-lain lagi. Ada juga antara mereka yang tidak mampu membezakan perkara-perkara yang syubhat sehinggakan mereka mengganggap yang hak itu batil dan yang batil itu adalah benar. Di manakah kecintaan kita terhadap kemuliaan dan ketulenan Islam itu yang kian tercemar? Atau kita adalah pereka dan penambah kepada wahyu Rasulullah SAW dan menjadi pelengkap tidak bertauliah?

Selain itu, kita selalu membiarkan berlakunya percampuran antara lelaki dan wanita ketika berlangsungnya kerja-kerja dakwah. Namun, tidak dinafikan, ada beberapa keadaan yang dibenarkan dan ianya termasuk dalam ikhtilat yang dibenarkan dan diharuskan. Kita perlulah wala' kepada setiap arahan Allah yang tidak membenarkan berlakunya percampuran atas urusan yang tidak penting dan yang boleh dielakkan. Bagi keadaan yang diharuskan, ianya perlu dilihat dari sisi atas tujuan apa perkara tersebut dibenarkan dan bukannya dengan semudahnya membiarkan percampuran antara lelaki dan perempuan atas slogan "ukhuwwah" atau memudahkan gerak kerja. Seringkali slogan ini didengari di mana-mana sahaja. Apakah penghalalan ini dibuat kerana matlamatnya?


الغاية لا تبرر الوسيلة

"....Matlamat sama sekali tidak mewajarkan wasilah/cara..."


Selain itu juga, ada juga yang tidak tahu untuk membezakan fahaman-fahaman yang muncul akhir-akhir ini dan ada antara mereka yang sanggup menelannya demi mencapai matlamat dan misi perjuangannya. Terdapat pelbagai jenis bentuk fahaman yang telah menjangkiti gerakan Islam kini sehinggakan mereka membiarkan jangkitan ini terus merebak dan memburuk. Percampuran fahaman boleh menyebabkan terpesongnya dakwah yang ingin dibawa. Apabila kita tidak jelas akan fikrah Islam, maka, wala' kita tertumpu kepada fahaman-fahaman ini dan bukan lagi kepada Allah dan Islam itu sendiri.

“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan shalat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.”
(Al-Ma`idah: 55-56)


وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا

“Dan apa saja yang datang dari Rasulullah SAW kepada kalian, maka ambillah (laksanakanlah), dan apa saja yang kalian di larang untuk mengerjakannya, maka berhentilah (tinggalkanlah)....!"
(Al-Hasyr: 7)



bersambung....~

Read more