Membentuk Harakah Islamiyyah

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

Oleh : Dr. Nik Mohd Abduh Ibn. Mhd Nor

Dunia kini memperlihatkan kepada kita bahawa manusia tidak mudah untuk bersendirian dalam melaksanakan dakwah. Tanpa ragu-ragu, kita meyakini bahawa dakwah boleh dilaksanakan secara bersendirian. Tanpa keterikatan kepada mana-mana jemaah atau harakah islamiyyah. Namun, bagi mereka yang ingin melakukan perubahan terhadap masyarakat secara total, tidak dapat tidak mereka mestilah menggabungkan diri mereka dalam organisasi Islam atau jemaah dari pada jemaah muslimin atau lebih tepat lagi harakah islamiyyah yang mana pergerakannya berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Usaha pembaharuan ini mestilah dilakukan secara inqilabiyyah dan juga total bagi memastikan sesebuah syariat Islam yang diidamkan itu menjadi satu realiti. Pembentukan sesebuah harakah islamiyyah ini perlulah didasari atas beberapa aspek yang penting. Antaranya adalah :

1-Mengenal pasti ruang-ruang dan peluang yang ada bagi sesebuah harakah islamiyyah itu mampu menggerakkan amal islami mereka.
2-Mengenal pasti unsur-unsur yang dapat membantu menggerakkan amal islami mereka.
3-Mengenal pasti apakah faktor-faktor yang menyumbangkan kepada tersekatnya pembentukan sesebuah harakah islamiyyah itu.
4-Mengenal pasti kemampuan-kemampuan setiap individu yang ingin melaksanakan dan menggerakkan harakah tersebut supaya mereka mampu mempertahankannya walau apapun yang berlaku.
5-Melaksanakan perubahan secara amali dan tidak terlalu berteori.
6-Mengenal pasti apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dan menyumbang kepada perubahan masyarakat.
7-Mengenal pasti apakah bentuk dan jenis "jahiliyyah" yang ingin dibasmi sebagai contoh sistem perundangan, budaya dan ideology masyarakat serta yang lebih utama thaghut yang makin melata.

Pembentukan Harakah Islamiyyah

Pembentukan harakah Islamiyyah ini adalah satu daripada marhalah-marhalah dakwah yang perlu dilaksanakan dalam proses memperkukuhkan dakwah agar ianya lebih tersusun dan berorganisasi. Berseorangan dalam berdakwah memungkinkan kita tersungkur dan tanpa bantuan kita akan mudah menyerah kalah begitu sahaja. Pembentukan harakah islamiyyah ini sangat penting dalam membawa masyarakat mengenali semua tuntutan-tuntutan Islam. Kesepaduan semua pemikir islam yang menggabungkan diri atas dasar ukhuwwah islam ini mampu membentuk sebuah harakah islamiyyah yang unggul, menjadi front dan saff kepada masyarakat islam dalam semua isu yang berkaitan dengan islam, mahupun tidak.

Usaha dakwah ini memerlukan kesungguhan para pencintanya yang ingin menggabungkan diri mereka dalam harakah islamiyyah. Mereka juga perlu membulatkan tekad dan keikhlasan mereka serta meyakini bahawa harakah islamiyyah ini dapat membantu usaha mereka merubah masyarakat.

وَمِنْ قَوْمِ مُوسَى أُمَّةٌ يَهْدُونَ بِالْحَقِّ وَبِهِ يَعْدِلُونَ

"..dan di antara kaum Musa itu terdapat satu umat yang memberi petunjuk dengan haq dan dengan itulah mereka menjalankan keadilan..."
(Al-A'raf : 159)

Dan dalam ayat lain juga Allah menyebut kepada menceritakan tentang segelintir manusia atau pengikut-pengikut kepada Nabi Isa A.S yang sentiasa membantu dakwah Nabi Isa a.s :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا أَنْصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ فَآمَنَتْ طَائِفَةٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَتْ طَائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ

"..berkata Isa Ibn Maryam kepada pengikut-pengikutnya yang setia (Hawariyyun). Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan Ad-Din) Allah? Para pengikut yang setia itu berkata:..Kamilah penolong-penolong din Allah, lalu segolongan dari bani israel eriman dan segolongan (yang lain) menjadi kafir, maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu menjadikan mereka orang-orang yang menang..."

(Al-Saff : 14)


Berkata Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah taala dalam komentarnya terhadap ayat ini:

يَقُول تَعَالَى آمِرًا عِبَاده الْمُؤْمِنِينَ أَنْ يَكُونُوا أَنْصَار اللَّه فِي جَمِيع أَحْوَالهمْ بِأَقْوَالِهِمْ وَأَفْعَالهمْ وَأَنْفُسهمْ وَأَمْوَالهمْ وَأَنْ يَسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ كَمَا اِسْتَجَابَ الْحَوَارِيُّونَ لِعِيسَى

"..Allah taala berkata sebagai arahan kepada hamba-hamba-NYA yang mukmin supaya menjadi penolong-penolong Allah dalam semua hal ehwal mereka, kata-kata mereka, perlakuan mereka dan jiwa mereka serta harta mereka......"
(Tafsir Ibn Kathir)

Mereka inilah yang telah menjadi kumpulan yang membawa risalah Allah dalam menentang kefasadan dan taghut kaum-kaum mereka ketika itu. Zaman kegemilangan islam ibarat gerhana matahari yang kita kehilangan cahayanya berpuluh-puluh tahun setelah jatuhnya khilafah uthmaniyyah. Tidak dapat tidak, untuk mengembalikan sistem itu, penubuhan harakah islamiyyah akan menjadi titik tolak kepada perubahan dunia dan penerusan kepada risalah Allah yang dipikulkan kepada Rasulullah SAW dan juga para pengikutnya. Pembentukan harakah islamiyyah perlu disokong oleh individu yang ikhlas, dan mampu untuk tampil berhadapan dengan segala macam bentuk kejahilan dan kemungkaran.

Dari ayat-ayat yang telah kita baca di atas tadi, maka, jelaslah bahawa, pergerakan dakwah islam itu tidak dapat tidak mestilah adanya penggabungan diri dalam sesebuah harakah atau organisasi islam. Namun, tidaklah menjadi kesalahan bagi mereka yang ingin bersendirian dan merasakan kuat untuk berdakwah bersendirian. Namun, berdiri, hidup, jatuh dan bangun kita dalam dakwah adalah lebih terasa manisnya apabila kita menggabungkan diri kita dalam organisasi dakwah dan harakah islamiyyah.


Amal Jamai'e

Kerja-kerja dakwah yang lebih berkesan, terperinci, bersistem, ada modus operandinya adalah lebih berjaya jika dilaksanakan secara berjemaah atau amal islaminya dilakukan secara berkelompok. Usaha-usaha dan amal kolektif mestilah didokong oleh satu badan yang kuat dan ahlinya mampu bergandingan antara satu sama lain. Amal jamai'e yang dimaksudkan adalah :

"..Amal/Perkara yang diputuskan oleh tanzhim jemaah yang tersusun berdasarkan manhaj tertentu untuk mencapai matlamat/hadaf tertentu..."
(Amal Jama'ie - Abdullah Abdul Hamid, Jilid 1 hal 9)

Dan di dalam kitab Al-Muntalaq ada disebutkan oleh Ahmad Ar Rashid sebagai seni menyelaras (tansik) tenaga dalam mencapai objektif yang syumul dan menyeluruh dari semua aspek. Namun perlu diperhatikan kepada beberapa titik penting. Amal jama'ie tidak dapat terlaksana sekiranya tiada unsuru-unsur ini :

1)Setiap amal/perkara yang dikeluarkan mestilah melalui perbincangan, penghadaman, pro-kontranya dilumatkan oleh tanzhim.
2)Matlamat : Mendapat keredhaan Allah dengan menegakkan Sistem Islam.
3)Sasaran : 7 Marhalah Dakwah Al-Ikhwanul Muslimin iaitu Pembentukan Individu Muslim, Rumahtangga Muslim dan Masyarakat Islam, Mengislah Pemerintahan, Menubuhkan negara Islam, Kembalikan Khilafah Islam, dan Ustaziatul 'Alam.
4)Wasilah : cara dan methodology sunnah Baginda SAW yang diakui oleh syarak sepertimana yang dituliskan di atas. Setiap cara yang digunakan mestilah didasari oleh syarak, bukan matlamat semata.
5)Fasa : Peringkat yang ditempuh oleh jemaah dan tanzhim yang beransur-ansur/tadarruj dan berperingkat-peringkat. Fasa yang digariskan As-Syahid Al-Banna adalah Fasa Ta'arif, Takwin dan Tanfidz.


SYARAT 'AMAL JAMA'IE
Antara syarat-syarat yang perlu dikenalpasti :

1)Jemaah dan tanzhim yang sangat tersusun, berdisiplin, berperaturan, dan juga mempunyai sistem yang jelas.
2)Amal yang diputuskan telah dipersetujui oleh tanzhim dan jemaah.
3)Kerja-kerja amal yang dilakukan tidak mengganggu kerja-kerja asasi dan mengikut manhaj (Manhaji) seperti menyertai pilihan raya, tetapi tidak mengganggu kerja-kerja tarbawi walau sedikit pun.
4)Ada matlamat tertentu dan tujuan tertentu yang sudah pasti tidak melanggari syarak samada dengan nas syarak, ijtihad, dharurat dan rukhsah.

Di antara dalil dan hujjah yang menguatkan kepada keperluan amal jama'ie adalah seperti berikut :

1)Naqli
2)Qawaid Fiqhiyyah
3)Aqliyyah
4)Waqi' dan keadaan semasa.


1) Dalil Naqli :

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ
وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

"..dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf, mencegah yang mungkar, dan merekalah orang-orang yang berjaya.."
(Ali-'Imran : 104)

Ayat di atas menerangkan kepada kita bahawa tidak mesti tidak perlu ada segolongan manusia yang menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran. Perkataan "ummah" di atas seperti mana yang disebut di dalam kitab tafsir Al-tabari membawa maksud "jamaah". Dalam Tafsir Al-manar pula ada menyebut : "..bahawa sebenarnya ummah lebih khusus daripada perkataan jamaah. Ummah ialah satu jamaah yang terdiri daripada individu yang bersatu dalam satu ikatan atau wahdah yang padat bagaikan organ-organ yang ada pada diri seseorang..".

Dalam tafsir Ibn Kathir pula disebutkan :

وَالْمَقْصُود مِنْ هَذِهِ الْآيَة أَنْ تَكُون فِرْقَة مِنْ هَذِهِ الْأُمَّة

"..dan dimaksudkan daripada ayat ini hendaklah ada satu firqah/kumpulan daripada ummat ini..."
(Ibn Kathir - Tafsir Ibn Kathir)

Ulamak berbeza pendapat dalam memberikan penafsiran maksud "Al-Jamaah". Namun kehadiran harakah islamiyyah dan jemaah-jemaah yang ada ini adalah kumpulan daripada kumpulan-kumpulan islam lain. Bukannya sepertimana yang disebutkan dalam hadith-hadith Baginda SAW tentang jamaah kerana apa yang dimaksudkan dalam hadith-hadith Baginda SAW adalah Islam itu sendiri. Di harap para pembaca tidak tertukar dengan "jamaah" semasa adanya khalifah dan semasa ketiadaan khalifah. Jamaah yang dimaksudkan oleh penulis adalah jamaah atau kumpulan manusia yang terbentuk secara muasasi (organisasi) dan bertanzhim, tersusun dan mempunyai matlamat tersendiri di masa ketiadaan khalifah Islam. Namun, maksud jamaah pada setiap sisi hadith Baginda SAW adalah berbeza dengan apa yang cuba penulis huraikan. Jamaah yang penulis bawakan adalah kumpulan/kelompok manusia yang berhimpun atas satu fikrah, satu matlamat dan memberikan komitmen jiwa dan diri mereka bagi mencapai matlamat tersebut. Mafhum jamaah yang disebut-sebut Baginda SAW akan dibincangkan oleh penulis pada entri akan datang bagi mencerahkan para pembaca.



2) Qawaid Fiqhiyyah :

Kaedah Fiqh :

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "...Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain...."

(Yusuf : 108)

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

"...Sesungguhnya hukum dari sesuatu yang menjadi
penyempurna daripada suatu kewajipan, adalah wajib..."

الحريم له حكم ما هو حريم له
"..sesuatu perkara yang menjadi penjaga terhadap
sesuatu hal itu hukumnya adalah sama dengan yang dijaga.."


الحكم بالوسيلة حكم بالمقاصد
"..hukum bagi wasilah adalah hukum bagi maksud.."

Daripada dalil di atas, jelaslah bahawa membentuk jemaah muslim yang terdiri daripada mereka yang dipercayai, beriman, bermatlamat untuk menegakkan syiar Islam dan melaksanakannya adalah dituntut dan bahkan ada ulamak yang mengatakan wajib berpandukan kepada kaedah-kaedah fiqh di atas. Kewajipan dakwah ini sukar terlaksana apabila sekiranya tidak terbentuknya satu jemaah yang terpimpin, tersusun dan terperinci perancangannya.


3) Dalil Aqli :

Hakikatnya di zaman ini, bekerja dalam dakwah secara berseorangan memberikan kesan yang lebih kecil dan susah untuk mendapat hasil yang muntijah. Berseorangan juga boleh menyebabkan individu dai berkemungkinan boleh menjadi lemah, lesu dan tidak bermaya dalam dakwahnya kerana tidak dibantu oleh sesiapa. Apa yang lebih dibimbangi adalah apabila berseorangan melaksanakan dakwah, individu tersebut akan menjadi bahan serangan kerana tiada kekuatan yang mampu menampung dirinya untuk bergerak sekaligus mematikan usaha dakwahnya. Demikian itulah, bergerak secara berjamaah dalam bentuk harakah islamiyyah dapat membutuhkan hasil dan kesan yang lebih besar kepada dakwah. Ini kerana, pelaksanaan secara jama'ie akan lebih memudahkan lagi urusan dakwah, melicinkan kerja dan apa yang lebih penting adalah apabila terdapat kekurangan di satu sudut, para ahli harakah akan menjadi tampungan kepada kekurangan tersebut. Hal ini sekaligus menanamkan rasa kebersamaan dan memudahkan lagi usaha mencapai pembentukan syariat Islam.

4) Waqi' / Keadaan Semasa :

Seluruh dunia memperlihatkan betapa dengkinya musuh-musuh Islam terhadap Islam. Mereka saling bergandingan antara satu sama lain dan mampu membentuk kelompok yang sangat besar walaupun ada kalanya mereka mempunyai ideologi yang berbeza-beza. Namun, atas semangat menentang Islam, mereka mampu bersatu. Begitu juga di Malaysia khususnya, penubuhan-penubuhan badan kebebasan beragama, sister in islam dan seumpamanya berdiri atas kerja sama erat sesama mereka. Jikalau seorang dai yang melaksanakan dakwahnya secara bersendirian, nescaya individu ini mudah akan diratah dan dilanyak begitu sahaja. Oleh itu, keadaan ini memaksa individu dakwah untuk bekerja bersama, dalam satu saff dan barisan yang utuh untuk menentang thaghut ini. Pembentukan harakah islamiyyah adalah solusi yang ideal untuk berhadapan dengan pelbagai permasalahan ummat yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam, amnya di seluruh dunia dan khususnya di Malaysia. Namun, penulis tidak sesekali beranggapan bahawa bersendirian itu tidak boleh dan tidak syar'ie.


0 comments: