Mari Kita Hayati Bait-Bait Ini
bersatulah wahai kaum muslimin
dengan semangat dan roh kebenaran
berjihadlah wahai kaum muslimin
walau susah menempuh cabaran
bersatulah wahai kaum muslimin
dengan obor sinar kebahagiaan
berjihadlah wahai kaum muslimin
biar syahid atau pun kemenangan
berjuanglah wahai Ansorullah
dengan matlamat Daulah Islamiyyah
berkorbanlah wahai yang beriman
dengan harta dan segenap kepunyaan
bergeraklah ke gerbang jasa
kalah menang bukan alasannya
sucikanlah niat di hati
hingga nyata benarnya janji rabbi
bergeraklah ke gerbang jasa
kalah menang bukan alasannya
sucikanlah niat di hati hingga nyata benarnya janji rabbi
selamatlah parti islam melangkah
membimbing ummah ke medan siasah
berpedomankan al-Quran dan Sunnah
suburlah hidupnya dan pasti berbuah(3x)
Oleh : Dr. Nik Mohd Abduh Ibn Nik Mhd Nor
Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Assalamualaikum semua yang membaca..Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW. Semoga roh dakwah Baginda yang dirasai hingga ke hari ini terus mekar dan bercambah-cambah dari hari ke hari. Semoga Rasulullah SAW yang kita cintai ini terus menjadi contoh ikutan buat kita para pendakwah yang mengaku memperjuangkan risalah ini.
Terlebih dahulu ana memohon maaf kerana tidak banyak menulis, dan menjuruskan serta lebih banyak mengecilkan skop perbincangan di blog ana kepada siri menjawab isu-isu yang ditimbulkan dalam cbox ana. Subhanallah, sesungguhnya sudah terbazir waktu ana untuk perkara-perkara yang remeh-temeh ini kerana kecilnya minda dan pemikiran ana. Walau apapun, ana cuba untuk menjadikan semua siri jawapan ini suatu yang boleh dikongsi dan diteladani untuk semua. Jikalau tidak semua pun, cukuplah untuk ana sahaja. Mana yang baik itu, ambil sahaja, yang keruh itu tinggal-tinggalkan.
Hamba Tuhan vs "Wakil" Tuhan
Sudah termaktub, Rasulullah SAW lah yang menjadi utusan terakhir Allah, yang memikul tanggungjawab besar membawa risalah tauhid kepada manusia ke seluruhannya, tidak kira bangsa mana sekalipun. Tiada lagi janji Allah bahawa akan wujud extra-khatimul anbiya' / another version of khaatimul anbiya' atau wakil tuhan di muka bumi ini melainkan tidak lain dan tidak bukan hanyalah pewaris para anbiya', yang tidak dikurniakan wahyu dan kelebihan seperti para anbiya' lain.
مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا
“....Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang lelaki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan penutup para Nabi...”
(Al-Ahzab : 40)
Namun, setelah kewafatan baginda Rasulullah SAW, muncul para pemuka-pemuka syaitan mendakwa diri mereka Rasul utusan yang membawa seruan agama dan merupakan nabi Allah yang baru yang mana antaranya adalah Musailamah Al-Kazzab. Syaitan ini popular sebaik sahaja kewafatan Baginda SAW. Hal ini tidak menghairankan kerana mereka ini tidak beriman kepada kitab Allah dan Rasulullah SAW walaupun melihatnya. Benarkah? Memang benar kerana sudah jelas lagi terang pernyataan dan deklarasi dari Allah yang ternyata di dalam surah Al-Ahzab di atas. Kemunculan para nabi palsu ini sememangnya sudah dijangka dan sudah pasti akan ada.
Namun, dunia kini tidak popular dengan kehadiran nabi-nabi palsu ini, kerana kehadiran mereka pasti ditentang dan dilawan habis-habisan oleh para golongan agamawan dan cerdikpandai. Apa yang ingin diutarakan dalam artikel ini adalah berkenaan wakil tuhan yang semakin melata kini dan mereka tidak diiktiraf oleh Allah pun sebagai wakil mereka di muka bumi ini melainkan wakil tuhan yang dimaksudkan adalah khalifah Allah. Apakah yang saya maksudkan dengan wakil tuhan ini??
Berkata Ibn Abbas radiallahu anhu :
“...Sesungguhnya orang yang selalu berfatwa terhadap manusia dalam setiap permasalahan yang mereka tanyakan adalah seorang yang gila..!”
(I’lamul Muwaqqi’in hal. 63)
Sebenarnya, kehadiran mereka di dunia ini juga sudah dijangka dan tidak hairanlah apabila Baginda SAW menyebutkan orang islam itu ibarat buih di lautan. Terlalu banyak, namun kualititnya tiada. Namun, mereka beriman kepada Allah dan Rasul, juga mengetahui keterbatasan akal mereka, dan tahu pula mereka tiada hak untuk menghukum manusia, namun mereka tetap menjadi sebegitu. Mungkin inilah yang dikatakan, ilmu dicari, amal diletakkan di tepi! Wakil tuhan ini akan sentiasa menjadi penghukum kepada manusia walaupun tiada ilmu. Wakil tuhan ini dengan mudah menyatakan itu dan ini, menghukum itu dan ini, mengeluarkan itu dan ini hasil buah fikirannya yang terbatas.
Kita seringkali berlagak pandai dan gemar menghukum manusia. Kita gemar menghukum manusia atas keterbatasan ilmu kita. Kita suka mengadili manusia mengikut pertimbangan mata kasar kita. Mana tidaknya, lihat sahaja betapa ramai manusia yang suka melihat manusia lain hanya dengan mendengar sesuatu kemudian kita menghukum seseorang itu atas perkara yang kita tidak tahu kesahihannya. Kita suka menilai manusia melalui kata-kata orang, atau pun 1st impression kita terhadap manusia/individu yang kita barangkali tidak kenal atau kenal-kenal begitu sahaja. Kita gemar menghukum manusia atas satu-satu kesalahan yang seseorang lakukan, yang kita tidak tahu pun mungkin individu tersebut sudah pun bertaubat. Kita juga gemar menghukum akidah manusia kafir, fasik dan seumpamanya walaupun kita bukannya seorang mujtahid, apatah lagi seorang Nabi. Artikel ini sesuai dibaca untuk mereka yang sentiasa memfasikkan dan mentakfir Al-Imam Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah taala anhu (sila klik). Tokoh ini seringkali ditohmah dan dicaci serta dihukum oleh para ulamak sufi yang begitu waham ini dan mereka para ulamak sufi ini sangat takut kepada pemerintah di zamannya. Inilah realiti wakil tuhan yang wujud di zamannya. Mentakfir dan menyesatkan para ulamak sedangkan beliau ini sangat berjasa kepada Islam dan sangat berani menentang kekufuran. Mana tidaknya, beliau orang yang paling lantang terhadap pemerintah dan paling berani menegakkan hujjah. Beliau jugalah ulamak yang benar-benar mengusir tentera tartar di zamannya di saat para ulamak sufi yang lain menjadi barua dan pengampu kepada pemerintah.
Dr. Yusuf Qardhawi berkata :
“....Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku....”
(dipetik dari artikel Dr. Asri - Al-Qaradawi, Kaif Nata‘amul ma‘a al-Sunnah, Mesir: Dar al-Wafa)
Telah berkata Al-Imam At-Tahawi :
“....Kita tidak mengkafirkan ahlul kiblat kerana satu dosa yang dilakukannya selama dia tidak menghalalkan perbuatan tersebut, dan kita tidak mengatakan perbuatan dosa itu tidak mudarat terhadap keimanan. Kita berharap orang-orang yang berbuat baik dari kalangan mukminin supaya Allah memaafkan mereka dan memasukkan mereka ke dalam jannah dengan rahmat-Nya, dan kita tidak merasa aman terhadap mereka dari janji Allah dan kita tidak mempersaksikan syurga bagi mereka. Kita mintakan ampun terhadap kesalahan mereka dan kita takut mereka akan mendapat hukuman kerana dosa mereka, namun kita tidak putus asa dari rahmat Allah terhadap mereka. Merasa aman dari ancaman Allah dan putus asa dari rahmat-Nya, keduanya akan memindahkan dari agama Islam sedangkan jalan yang haq berada di antara keduanya bagi ahlul kiblat....”
(Al-'Aqidah Ath-Thahawiyyah Syarhun wa Ta'liq Al-Imam Al-Albani, hal. 60-62)
Kita gemar menghukum seseorang individu dan amalannya walaupun kita tidak mengenalinya.Dan contoh yang paling mudah adalah, kita gemar untuk menilai peribadi seseorang hanya kerana kesalahan-kesalahan kecilnya yang mungkin sudah pun diampuni oleh Allah. Tidak hairanlah terbitnya pepatah "..Do not judge a book by it's cover..!" Kita tidakpun mengenali seseorang individu kemudian kita cepat menghukumnya dengan melihat kepada tulisan-tulisan individu tersebut, tanpa kita melihat kepada perjuangannya dan perngorbanannya untuk agama. Kisah ini pula sesuai dibaca kepada para pengkritik Dr. Maszlee Malik, seorang ilmuwan islam yang begitu banyak masanya dihabiskan untuk Islam. Mana tidaknya, hanya kerana isu jemaah centric yang dilontarkan sebagai pandangannya sahaja menyebabkan dia ditohmah dan dikatakan ejen umno oleh beberapa kerat manusia yang tidak mengenalinya. Begitu jelek perangai manusia ini. Menghukum manusia atas manusia tanpa kita mengenali lebih dekat pengorbanan beliau kepada ummah. Tanya sahajalah kepada para penuntut di matrikulasi uia ceramah-ceramah beliau tidak dibayar, penuh ilmiah, ikhlas memperjuangkan isu-isu agama dan palestin. Namun dicaci hanya kerana isu jemaah centric yang cuba meleraikan kekusutan pertembungan sikap para pendakwah yang mendakwa mereka membawa islam dengan slogan akulah yang paling benar dan paling ikhwan! Mereka lebih gemar menggunakan terma-terma tidak sihat untuk memburuk-burukkan peribadi seseorang. Tidak kurang juga ada yang mengatakan penulisan beliau adalah kesan kepada tidak ada komitmennya beliau terhadap jemaah beliau sendiri sedangkan jika sesiapa bertanya kepada rakan-rakan sejemaah beliau, pasti mereka akan mengatakan Dr.Maszlee Malik ini antara orang yang paling komited dengan jemaah dan lebih dari itu beliau memberikan WALA'NYA kepada Allah dan Rasul melebihi segalanya. Lihat lah sikap wakil tuhan ini. Merasakan kita senang-senang boleh menghukum individu walaupun kita tidak mengenali dirinya. Sedangkan yang berhak menghukum hanyalah Allah.
Kerana sikap gemar menghukum inilah sahabat Rasulullah SAW, seorang penulis wahyu yang hebat dan agung Saidina Mua'awiyah r.a telah dihukum oleh para penganut syiah sebagai khawarij, pemberontak, punca pecah belah dan pengkhianat Islam malah mereka lebih gemar mentakfir Mu'awiyah. Kerana kejahilan dan niat jahat mereka lah Mu'awiyah r.a yang agung ini telah dikuburkan kemuliaannya, dibuang kemasyhurannya, dibakar jasanya, dihina, dipijak-pijak, dicaci, dimaki dan seumpamanya. Inilah kebodohan manusia yang ada akal yang terbatas namun berlagak sebagai wakil tuhan yang gemar menghukum walapun diri mereka itu sebenarnya jahil lagi hina dan dihinakan!
Abdullah Ibnu al-Mubarak pernah ditanya:
“...Apa kata tuan tentang Muawiyah dan Umar bin Abdul Aziz, siapakah di antara mereka yang lebih utama...?”
Abdullah Ibnu al-Mubarak naik marah lalu berkata:
“....Kamu bertanyakan nisbah keutamaan di antara mereka berdua. Demi Allah! Debu yang masuk ke dalam lubang hidung Muawiyah kerana berjihad bersama-sama Rasulullah s.a.w itu sahaja pun lebih baik dari Umar bin Abdul Aziz....”
(Al-Bidayah Wan Nihayah. m/s 139)
Ada juga wakil tuhan yang gemar mentakfir manusia lain. Juga menyatakan manusia lain sebagai sesat sedangkan mereka sendiri jahil, tiada ilmu malah diselubungi oleh makar syaitan. Mengapa tidak, begitu tegar mereka mencerca dakwah Syeikh Muhammad Ibn Abd. Wahhab dan para muridnya. Begitu juga Syeikhul Hadits Nasiruddin Al-Albani yang banyak berjasa mentakhrij, menilai kitab-kitab hadits, dan mentahkik pelbagai kitab-kitab para ulama tidak kurang dimaki, dihina, dihukumkan sebagai manusia terlaknat, apatah lagi dikafirkan oleh mereka yang tidak sukakannya. Inilah sikap para ilmuan masa kini yang tiada ilmu pun. Hanya sekadar mencedok kitab-kitab ulamak sufi yang begitu garang terhadap sunnah-sunnah baginda dan berlembut dengan bida'ah-bida'ah yang kian melata. Biarpun hadith begitu banyak memberikan peringatan, namun, akal mereka lebih mereka utamakan dan lebih mendahului hadith-hadith ini. Inilah manusia yang seringkali menjadi wakil tuhan yang tidak bertauliah. Mereka dengan mudah mengatakan thariq ini betul, thariq ini salah, jalan ini sesat, jalan ini tidak sesat. Nah, mereka ibarat manusia yang mendapat wahyu daripada Tuhan. Salafi Al-Albani salah, Syeikh Muhammad Ibn Abd Wahhab khawarij, pemberontak dan penyebab kepada kejatuhan khilafah uthmaniyyah walhal mereka tidak mengkaji sejarah bagaimana kejatuhan khilafah uthmaniyyah dan apakah faktor utama menyumbang ke arah kejatuhannya. Inilah manusia yang suka mencedok-cedok kebatilan dan menghembus bara dendam dan hasad kepada dakwah Syeikh Muhammad Ibn Abd. Wahhab.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah taala anhu berkata:
“Pengkafiran itu memiliki syarat-syarat dan mawani' yang terkadang mawani' itu hilang pada diri seseorang...”
(Majmu' Fatawa, 12/487)
Begitulah sikap manusia yang seringkali gemar menjadi wakil tuhan yang tidak diiktiraf. Sudahlah tidak berilmu, gemar pula mentakfir, mencemuh, mencerca para ulamak silam yang jasanya begitu besar terhadap dunia Islam. Inilah hakikat yang berlaku kini dan ianya akan terus berlaku sekiranya mereka tidak mahu berubah dan tetap sebegitu.
Semoga tulisan kecil ini menjadi iktibar kepada semua dan juga diriku agar sentiasa berjaga dalam menilai seseorang dan sesuatu perkara agar tidak terjebak ke fenomena ini. Dengan Nama Allah, saya berlepas diri dengan sikap jelek ini dan tidak dapat memaafkan sesiapa yang tidak henti-henti melaung-laungkan persoalan wahhabiyyah.
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment