Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Oleh : Dr. Nik Mohd Abduh Bin Nik Mhd Nor
Alhamdulillah, ana masih lagi diberikan peluang oleh Allah untuk menulis dan mencoretkan sesuatu walaupun beberapa hari ini terdapat sedikit gangguan dalam blog ana. Namun, ianya tidak lah mematahkan diri ana untuk terus menulis dan menyampaikan apa yang sepatutnya disampaikan. Terlebih dahulu, ana memohon daripada Allah atas apa yang Allah tidak senangi dan ana memohon maaf kepada para pembaca andai ada perkara yang mungkin antum/na tidak bersetuju/bersekali dengan ana. Apa yang ana tuliskan hanyalah beberapa pendapat ana yang kecil, tidak lari daripada kesalahan. Semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah-Nya kepada ana dan juga semua umat Muslimin.
Berbalik kepada perbincangan topik hari ini, ana secara peribadinya tidaklah pakar dan alim dalam perkara ini. Ana cuma menyampaikan ilmu yang telah dikurniakan kepada ana sepanjang ana bertalaqqi dan mengikuti kelas pengajian di sini. Ramai menyangka para pelajar perubatan tidak mempunyai masa yang cukup untuk belajar agama dengan syeikh arab kerana kesibukan. Ana tidak menjadikan kesibukan itu sebagai alasan untuk mengambil sedikit masa mempelajari ilmu agama.
Perkataan al-jamaah selalu disebut-sebut oleh mereka yang bergerak dalam haraki adalah berbeza dengan apa yang apa yang dimaksudkan dalam hadith Rasulullah SAW dan seringkali perkataan ini telah di salah fahami oleh sesetengah daripada para dai. Jamaah yang disebut oleh Syeikh Hassan Al-Banna Rahimahullah taala adalah jamaah daripada jamaah-jamaah Muslimin yang dibentuk selepas tiadanya khalifah. Dengan erti kata lain, jamaah yang dibentuk adalah kumpulan Islam yang ingin memperjuangkan Al-Quran dan As-Sunnah. Antara kefahaman yang salah tentang konsep "al-jamaah" dalam hadith-hadith Rasulullah SAW adalah kebanyakan mereka mengeksploitasikan perkataan "al-jamaah" bagi memaksa para mad'unya untuk tidak lari daripada kumpulannya, atau menjadikan perkataan "al-jamaah" ini sebagai jalan untuk mempengaruhi mad'unya agar tidak ingkar terhadap setiap arahan yang dikeluarkan jemaahnya. Kita tidak boleh semudah itu menilai hadith-hadith Rasulullah SAW dan menjadikannya hujjah untuk kita mengatakan kepada sesiapa yang keluar daripada ketaatan kepada jemaahnya, maka dia akan mati dalam jahiliyyah dan sebagainya.
Apakah takrif "Al-Jamaah"?
Al-jamaah yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam kebanyakan hadith memiliki 4 maksud yang berbeza namun semuanya seakan-akan sama.
1)Perjalanan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya.
2)As-Sawad Al-A'zhom (Tidak Thabit menurut ramai ulamak)
3)Ahli Ilmu, ahli hadith dan ahli fiqh.
4)Kebenaran/ Al-Haq
Seterusnya, mari kita lihat apakah ulasan para ulamak muktabar tentang maksud disebalik hadith-hadith Rasululullah SAW berkenaan dengan "Al-Jamaah".
MAKSUD 1 :
Perjalanan Yang Ditempuhi
Rasulullah dan Para Sahabatnya
Perkara di atas adalah merujuk kepada beberapa hadith Rasulullah SAW. Antara hadith yang masyhur adalah hadith dari jalan Abdullah Bin 'Amru radhiallah anhuma. Hadith tersebut berbunyi begini :
"..dia bertanya : siapakah Jama'ah yang lepas dari api neraka yang Rasulullah? Baginda menjawab : Apa yang aku dan sahabatku (berjalan) di atasnya.."
(Sahih, Hadith Riwayat At-Tirmizi no.2779 dan dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Silsilah Al-Hadith As-Sohihah 3/480)
Oleh itu, bagi sesiapa yang ingin mengetahui apakah yang dilalui oleh para sahabat radhiallahu anhum, mari kita dengar apakah saranan dan nasihat Syeikh Al-Allamah Abu Muzaffar As-Sam'ani. Beliau berkata : "..dengan itu, maka sudah tentu kita mesti mengetahui apakah perjalanan Rasulullah SAW dan para sahabatnya dan tidak akan mengetahui perkara demikian kecuali dengan cara-cara belajar ilmu-ilmu naqli (yang warid dari Al-Quran dan As-Sunnah). Maka, wajiblah kita merujuk kepadannya.."
Ini jelas menunjukkan bahawa perkataan "Al-Jamaah" dalam hadith yang ditanya oleh sahabat Rasulullaha SAW adalah "Ma Ana Alaihi Wa Ashabi" / Apa yang aku dan para sahabatku berjalan di atasnya. Ini jelas bahawa perjalanan itu mestilah diketahui dengan perantaraan nas Al-Quran dan As-Sunnah juga pelaksanaan para sahabat secara naqli yg sahih, sama ada hadith itu mutawatir atau ahad.
MAKSUD 2 :
As-Sawadul A'Zhom / Kumpulan Yang Terbesar
Maksud kedua perkataan Al-Jamaah ini dapat diterangkan oleh hadith-hadith di bawah ini. Namun, maksud Al-Jamaah dari sudut As-Sawadul A'zhom adalah tidak thabit kecuali ianya hanya disebut dalam hadith-hadith dhaif dan dhaif jiddan (hadith riwayat Ishak Bin Rahawiyyah) sahaja di sisi al-Muhaqqiqin. Tetapi, pengertian ini sering disebut-sebut oleh ulamak, bahkan dijadikan alasan oleh ulamak mutaakkhirin untuk menyokong bilangan yang ramai di negeri masing-masing sebagai Ahlussunnah Wal Jamaah. Berikut adalah hadith-hadith yang diberikan komentar dhaif dan dhaif jiddan oleh Syeikh Al-Albani dalam kitabnya Takhrij Hadith Kitab As-Sunnah :
Dari Abi Umamah :
"..Telah terpecah Bani Israel kepada 71 puak, atau dia berkata : 72 puak dan ummat ini (Ummat Muhammad) berpecah lebih dari itu satu puak lagi (73)..ke semuanya di dalam neraka kecuali As-Sawadul A'zhom..."
(Dhaif, Diriwayatkan Oleh : Ibn 'Asim : As-Sunnah no.68, At-Tabrani : Al-Kabir 8035, Majma' Az-Zawa'id : 7/258, Rujukan : Al-Albani - Takhrij Hadith Kitab As-Sunnah no. 68)
Mari kita lihat apakah yang dimaksudkan pula dengan As-Sawadul A'zhom dan Al-Jamaah di sisi para ulamak muhaqqiqin.
1) Berkara Al-Imam Barbahari :
"..yang dimaksudkan dengan As-Sawadul A'zhom adalah Al-Haq wa Ahluhu (yakni kebenaran dan ahlinya). Bukan bilangan ramai sepertimana zahir maknanya..."
(Al-Barbahari, Syarhu As-Sunnah m.s 22)
2) Berkata Al-Imam Ibn Athir :
"..yang dimaksudkan dengan As-Sawadul A'zhom ialah sebahagian ramai dari manusia yang berhimpun atas mentaati sultan dan berjalan menurut yang benar..."
(Ibn Athir, An-Nihayat Fi Gharibil Hadith no. 2/419)
3) Berkata Al-Imam At-Tabari :
"..yang betul dari maksud hadith supaya melazimi Al-Jamaah ialah mentaati amir yang telah dipersetujui untuk dilantiknya selaku amir, siapa yang menderhakainya keluarlah ia dari Al-Jamaah.."
(Ibn Hajar Al-Asqalani, Fathul Bari no 13/37 dab Al-Mubarakfuri, Tuhfatul Ahwazi no 6/384-385)
4) Berkata Al-Imam As-Syatibi :
"..yang dimaksudkan dengan As-Sawadul A'zhom adalah orang yang terdahulu dari ummat Muhammad, mereka itu ialah salaf soleh yang terdiri daripada para sahabat, tabiin dan orang-orang yang mengikuti mereka dan berjalan di atas jalan mereka dari kalangan para imam jalan petunjuk dan orang-orang yang mengikuti mereka dari sekelian ummah.."
(As-Syatibi, Al-I'tisom no. 2/261)
MAKSUD 3 :
Ahli Ilmu, Ahli Hadith dan Ahli Fiqh
1) Berkata Al-Imam Bukhari rahimahullah taala anhu :
"..yang dimaksudkan Al-Jamaah yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW supaya umatnya melaziminya adalah ahli ilmu yang mujtahidun, bukan orang-orang awam apalagi yang jahil dan bukan pula ahli bida'ah..."
(Sahih Al-Bukhari 8/156 dan Fathul Bari 13/31)
2) Berkata Abu Isa At-Tirmizi :
"..dan pengertian Al-Jamaah di sisi Ahli Ilmu ialah Ahli Fiqh, Ahli Ilmu dan Ahli Hadith..."
(At-Tirmizi, Sunan At-Tirmizi no 4/467)
3) Berkata Syarf Al-Haq Al-Azhim Abadi :
"..Al-Jamaah ialah ahli Al-Quran, ahli hadith, ahli fiqh dan ahli ilmu yang berhimpun atas dasar mengikut sunnah Rasulullah SAW pada semua keadaan. Mereka tidak mereka-reka secara memesong dan mengubah maksud nas-nas dengan pendapat-pendapat yang rosak..."
(Aunul Ma'bud 12/342)
Pendapat ketiga ini telah disokong dan antara mereka yang berpendapat sama dengan pendapat ketiga ini adalah ulama muktabar yang masyhur Al-Imam Ahmad Bin Hanbali, Al-Imam Ali Madini, Al-Imam Ibnu Taimiyyah, Al-Imam As-Syatibi dan Al-Imam Al-Khatib Al-Baghdadi.
MAKSUD 4 :
Kebenaran / Al-Haq
Apa yang dimaksudkan dengan "Al-Jamaah" dalam hadith-hadith Rasulullah yang meminta kita melaziminya adalah kebenaran atau Al-Haq walaupun kita berada keseorangan tanpa bantuan orang ramai untuk melaksanakan kebenaran tersebut.
1) Berkata Abdullah Ibn Mas'ud radhiallahu anhu :
"..Al-Jamaah adalah perjalanan atau perkara yang selaras dengan Al-Haq/ kebenaran sekalipun kamu seorang diri (yang menjalankan haq itu...)"
Berkata Abu Syamah :
"...sekiranya datang perintah supaya melazimi Al-Jamaah, maka dikehendaki dengannya ialah melazimi kebenaran dan mengikutinya, sekalipun orang yang berpegang dengan Al-Haq itu adalah sedikit bilangannya dan yang menyalahi Al-Haq itu ramai. Kerana sesungguhnya Al-Haq ialah perjalanan yang berada di atasnya oleh Jamaah yang pertama iaitu Nabi SAW dan para sahabatnya dan janganlah kamu mengambil kira dengan bilangan ahli batil yang ramai sama sekali..."
(Abu Syamah, Al-Ba'ith Ala Inkar Al-Bid'a wal Hawadith m.s 22)
Secara kesimpulannya adalah, maksud perkataan Al-Jamaah di sisi para ulamak Ahlussunnah Wal Jamaah adalah :
1) Apa yang Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang berjalan di atasnya.
2)Ahli Al-Quran, Ahli Ilmu, Ahli Hadith, Ahli Fiqh.
3)Kebenaran / Al-Haq.
Demikianlah sedikit perbincangan mengenai maksud Al-Jamaah yang terdapat dalam hadith-hadith dan athar-athar. Semoga Allah mengampuni ana sekiranya tersilap dan tersalah dalam menulis. Dan semoga kita semua mendapat keberkatan dan redha Allah setiap masa. Perbincangan ini telah dikutip melalui kelas-kelas agama secara talaqqi dan nukilan dari buku Hakikat ASWJ.
Wassalam
0 comments:
Post a Comment