Anugerah Yang Dizalimi

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim

Mari kita melihat antara babak-babak menarik dalam kisah hidup Al-Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah taala anhu yang sering ditohmah oleh mereka yang bencikan mereka. Seperti kata Abul Hasan An-Nadwi, beliau bangkit di tengah-tengah ulamak sufi di mana kerjanya mengampu pemerintah ketika itu dan sangat takut pada pemerintah. Artikel penuh boleh didapati di blog akhuna MASRI As-Salafy. Sila klik untuk membacanya..

Oleh : Mufti Perlis - Sahibus Samahah Dr. Asri Zainul Abidin\

Ibn Taimiyyah (661-728H) atau dikenali dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah merupakan cahaya indah yang menghiasi sejarah para ulama gemilang. Beliau ilmuwan terbilang yang tiada tolok bandingnya, lagi pejuang yang berperang menentang menaklukan Tatar ke atas wilayah Islam. Berjihad dengan pena, suara dan pedang.


Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”

Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”.

Jawab Ibn Taimiyyah: “Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orangramai!”.

Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.

Kata Ibn Taimiyyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.

Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.

Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.

Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”. Jawab: “Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi”

(lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

0 comments: