"Sesungguhnya agama yang (sah) di sisi Allah itu adalah Islam." (Ali Imran: 19).
Para Rasul dan Nabi disatukan dalam risalah dan sunnah dakwah yang sama. Kesemua mereka menghadapi fitnah dan ibtila', ujian dan cubaan. Oleh itu bagi seorang da'I, sebagai pewaris para Nabi dan Rasul, berhadapan dengan fitnah dan ibtila', merupakan suatu perkara yang biasa, kerana begitulah sunnatullah dalam dakwah. Allah berfirman:
"Alif laam miim. Apakah manusia mengira mereka akan kami biarkan tanpa fitnah setelah mereka mengatakan 'kami beriman'? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka seseungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Al-'Ankabuut: 1-3)
Dalam ayat yang lain pula:
"(Yang demikian itu adalah) sunnah yang telah Kami tetapkan kepada orang-orang yang diutus sebelum kamu. Dan sekali-kali kamu tidak akan mendapati perubahan dalam sunnah Ku." (Al Israa': 77)
Makna Fitnah dan Ibtila'
Orang Arab biasa mengungkapkan "futina adz dzahabu" (emas itu difitnah), iaitu apabila emas tadi diletakkan di atas api untuk memisahkan yang asli dari yang palsu. Firman Allah SWT juga mengungkapkan kalimah fitnah dengan lafaz "yuftanuun" contohnya:
"Pada hari itu mereka (orang-orang kafir) Kami panggang di atas api."(Adz Dzaariyaat: 13).
Pengetian fitnah dari segi bahasa inilah yang diambil dan digunakan oleh Islam untuk menunjukkan sebuah proses penempaan atau ujian terhadap umatnya yang beriman. Sehingga jelas kelihatan perbezaan siapa yang benar-benar beriman dan siapa pula yang dusta. Perkataan ibtila' berasal dari kata ibtalaa - yabtalii yang membawa maksud ikhtabaro - yakhtabiru yang ertinya menguji. Sebagaimana dalam firman Allah SWT:
"Dan ingatlah ketika Ibrahim diuji rabbnya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan)…." (Al-Baqarah: 124).
Oleh itu, ibtila' adalah ujian yang datang dari Allah ke atas hamba-hamba Nya (ujiannya berupa kesenangan atau penderitaan) untuk melihat siapa yang berjaya dan siapa pula yang gagal dalam menghadapinya.
Bentuk Fitnah dan Ibtila'
Terdapat dua bentuk fitnah dan ibtila'. Pertama, fitnah yang berbentuk kesenangan dan kenikmatan hidup. Kedua, dalam bentuk kesengsaraan dan kepahitan. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Setiap jiwa akan merasakan mati. Dan Kami menguji kamu semua dengan keburukan dan kebaikan sebagai fitnah." (Al-Anbiyaa': 35)
Fitnah kesenangan dan kenikmatan hidup. Terdapat beberapa bentuk fitnah kesenangan dan kenikmatan hidup, contohnya: melimpahnya harta kekayaan, tingginya jawatan dan pangkat, kemasyhuran dan populariti yang memuncak, kecantikan dan ketampanan paras rupa dan luasnya ilmu dan seumpamanya. Sebahagian besar masyarakat yang silap faham tentang perkara ini. Menurut kefahaman mereka fitnah hanyalah kesengsaraan, penderitaan atau sesuatu yang tidak menyelesakan. Akibatnya, ketika mereka memiliki kenikmatan dan kesenangan hidup mereka lupa dan lalai malah mereka melalui kenikmatan ini dengan cara berfikir yang tidak selari dengan Islam. Akhirnya, ramai manusia yang terkorban dan tersesat akibat kenikmatan ini.
Contoh yang paling jelas adalah Qarun. Qarun merupakan tokoh legenda kesesatan. Sesat kerana hartanya yang melimpah ruah, sehinggga dia yang pernah menjadi pengikut setia Nabi Musa AS kembali menjadi pendukung Fir'aun. Selain itu ada juga contoh lain iaitu Bal'am. Seorang alim yang banyak mengetahui tentang al-Kitab, ketinggian ilmunya bukan hanya diakui oleh manusia tetapi Allah juga menyebutkan keadaannya di dalam Al-Qur'an. Namun kerana dia menyalahgunakan ilmunya (ilmu digunakan sebagai alat untuk mengejar keduniaan) akhirnya dia juga tewas dalam kesesatan malah menyesatkan.
Pada zaman sekarang, kita dapat menyaksikan banyak kesesatan manusia akibat kenikmatan hidup dan mewahnya kemudahan yang tersedia di hadapan mereka. Lihatlah, berapa ramai wanita cantik yang menjual diri dengan kecantikannya, tidak sedikit pula orang kaya yang menggunakan kekayaannya untuk membeli segala bentuk dosa dan lihat juga para penguasa yang menggunakan kekuasaannya untuk hidup seperti cara buaya darat yang lupa daratan.
Sebenarnya untuk menghadapi fitnah dalam bentuk ini para pendakwah harus lebih berhati-hati dan waspada. Menjadi suatu kelaziman dan kebiasaan bagi musuh-musuh Islam, sebelum mereka mengazab dan menyeksa orang-orang beriman terlebih dahulu mereka menawarkan pelbagai kemudahan dan kenikmatan hidup. Sejarah telah membuktikannya. Nabi Yusuf AS sebelum dipenjara terlebih dahulu digoda dan ditawan dengan kecantikan yang memikat syahwat. Rasulullah SAW sebelum dihina, disiksa dan diusir terlebih dahulu ditawar dengan tawaran yang lumayan untuk menjadi raja, dilimpahkan pula dengan harta benda atau ditawarkan untuk menikah dengan wanita cantik yang disukainya. Sayyid Qutb dan al-Banna juga pernah ditawarkan pangkat dan kedudukan serta kemewahan sebelum akhirnya mereka dibunuh kerana tetap istiqamah memegang prinsip dakwah.
Fitnah kesengsaraan dan kepahitan hidup. Fitnah bentuk ini lebih pelbagai dan lebih berbagai ragam lagi. Antara lain adalah kemiskinan, kelaparan, kematian, ketakutan, kesedihan, penyiksaan, pengusiran, penindasan, ejekan dan cemuhan, tuduhan dan caci maki. Allah SWT telah berfirman maksudnya:
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah: 155)
Jika kita tinjau dari segi ruang lingkupnya, fitnah mungkin terjadi dalam bentuk individu atau kumpulan. Banyak contoh fitnah yang berlaku dan menimpa individu-individu dakwah. Nabi Ibrahim contohnya, yang terpaksa meninggalkan kampung halamannya berhijrah ke negeri Arafah yang amat gersang lagi kering kontang. Lalu terpaksa pula meninggalkan anak yang amat dicintainya serta isteri tercinta di padang yang tandus. Selang beberapa ketika setelah baginda berjaya mengharungi gelombang fitnah dan ibtila' ini datang pula ujian baru yang lebih berat. Baginda harus menyembelih anak penyejuk hati belahan jiwanya, Ismail. Semuanya dilaksanakan demi mencapai redha Ilahi. Zat yang amat dicintai oleh Ibrahim dan tiada bandingnya.Kemudian kita beralih pula kepada kisah Yusuf AS, seorang pemuda tampan yang harus meneguk derita dan nestapa yang berpanjangan.
Bermula daripada rasa dengki saudara-saudaranya beliau dicampakkan ke dalam perigi, kemudian dipungut dan dijualbelikan di pasar hamba abdi sampai akhirnya merengkuk di penjara bertahun-tahun lamanya. Lain pula dengan kisah Nabi Ayub AS. Ayub AS merupakan seorang yang kaya, mempunyai bilangan anak yang banyak dan mempunyai isteri yang amat setia, tiba-tiba ditimpa penyakit yang amat parah. Sedang baginda menderita kesakitan, satu demi satu anaknya pulang menemui Rabbul'izzati. Seluruh kekayaanya pula sedikit demi sedikit berkurangan dan akhirnya muflis. Isterinya yang amat setia itu juga akhirnya pergi meninggalkannya keseorangan. Di saat deritanya sedang memuncak Ayub AS pun berdoa:
"Ya Rabbku, sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit , dan Engkau adalah Rabb Yang Maha Penyayang di antara semua yang penyayang." (Al-Anbiyaa': 83)
Tidak kurang pula contoh ujian dikalangan kaum wanita. Hajar umpamanya, seorang muslimah yang tidak pernah sepi dirundung ujian dan cubaan. Ketika badannya masih lemah selepas melahirkan Ismail dia terpaksa mengharungi pengembaraan yang jauh bersama suaminya ke Padang Arafah. Di negeri padang yang gersang tak berumput dan tak bermata air, dia harus berjuang untuk mempertahankan hidupnya serta bayi yang masih merah sendirian tanpa suami dan sanak saudara. Setelah berlalu beberapa ketika, usia Ismail meningkat remaja. Ketika ini pula dia terpaksa merelakan anaknya disembelih oleh suaminya. Semua ini dihadapinya dengan tabah. Beralih pula pada kisah Asiah, seorang wanita syurga nan jelita juga isteri kepada Firaun alaihi la'natullah. Demi mempertahankan keimanannya Asiah dipukul dan disiksa sekujur tubuhnya, akhirnya syahid di tiang gantung binaan suaminya. Berbeza pula dengan kisah Maryam dan 'Aisyah, dua wanita suci yang terpaksa menghadapi tuduhan zina walaupun tidak pernah sama sekali terlintas di fikirannya untuk berzina. Namun akhirnya Allah menyelamatkan mereka berdua.
Pada zaman ini, ada juga contoh lain tentang kehebatan wanita menempuh penderitaan, iaitu Zainab al-Ghazali. Penderitaannya meringkuk di penjara sungguh mengerikan sehingga kisah ini menjadi kisah yang tidak asing lagi bagi para du'at.
Inilah paparan kisah, kisah para mutiara. Sebuah rantaian kafilah du'at yang tidak pernah putus hingga Qiyamat. Begitulah rupanya sunnatullah yang mesti berlaku ke atas para du'at, tidak pernah berubah dan tidak akan berubah selama-lamanya.
Fitnah dalam bentuk kumpulan pula biasanya timbul akibat pertarungan antara hizbullah (tentera-tentera Allah) dan hizbussyaitan (tentera-tentera syaitan). Secara kasarnya ia boleh dibahagikan kepada beberapa bentuk berikut:
Provokasi
Dalam menjalankan tindakannya, musuh-musuh Islam biasanya melakukan provokasi terhadap para du'at. Terdapat beberapa sasaran yang akan mereka tujukan:
Memburuk-burukkan imej para du'at dan menjatuhkan nama mereka di hadapan umat manusia. Untuk tujuan ini mereka biasanya memberi julukan kepada para du'at dengan gelaran ekstrimis, teroris, fundamentalis, kuno, membawa dakyah, tidak syumul dan seumpamanya.
Menjauhkan manusia dari para du'at dan dakwah. Seterusnya menghalang mereka daripada bergabung dengan saff (barisan) kebenaran. Bahkan mereka sering berjaya menjadikan manusia memusuhi dakwah dan kebenaran.
Ancaman, penganiayaan, pengusiran dan penyeksaan
Cara dan kaedah ini sering dilakukan oleh musuh-musuh Islam dari masa ke masa, terutama sekali ketika keadaan umat Islam lemah. Bani Israel pernah dianiaya dan diusir oleh Fir'aun dari kampung halamannya. Ashabul Ukhdud diseksa dengan kejam secara beramai-ramai oleh raja yang zalim. Rasulullah dan para sahabat pernah dianiaya dan diusir oleh kafir Quraisy. Para pejuang Palestin juga ramai yang diseksa dan diusir oleh Yahudi. Penyeksaan yang dialami umat Islam di Sabra dan Satilla, penyeksaan ke atas Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Syria, penyeksaan yang dialami oleh umat Islam Bosnia Herzegovina dan banyak lagi kejadian yang tidak mungkin dinyatakan satu persatu.
Pemboikotan dan sekatan ekonomi
Cara ini pernah dilakukan oleh kaum Quraisy terhadap umat Islam di Mekah dan sekarang banyak berlaku terhadap aktivis Islam di Yordania, Syria dan negara-negara Islam yang lain mengalami keadaan yang serupa.
Hikmah Disebalik Fitnah dan Ibtila'
Allah itu Maha Bijaksana. Disebalik fitnah dan ujian, ada hikmah yang sangat berguna bagi umat Islam. Diantaranya ialah:
Untuk membersihkan barisan umat Islam dari penyusupan masuk orang munafiq dan musuh-musuh dakwah yang lain. Allah SWT berfirman :
"Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikan Nya (gugur sebagai) syuhada'. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim. Dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir." (Ali 'Imran: 140-141).
Musibah dan fitnah juga berfungsi sebagai penghapus dosa-dosa muslim. Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya:
"Tiada sesuatu musibah pun menimpa seorang muslim dari penyakit, penderitaan, kesedihan, kesulitan, sehingga duri yang terkena kakinya, kecuali Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya dengan musibah tadi." (Muttafaq'alaih)
Musibah yang Allah turunkan kepada hamba Nya merupakan bukti cinta dan redha Nya terhadap hamba Nya. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:"Sesungguhnya jika Allah mencintai suatu kaum, Dia akan mengujinya. Jika kaum itu redha dengan ujian tersebut maka Allah akan meredhainya. Dan jika kaum itu marah dengan ujian tersebut Dia pun akan marah kepadanya." (HR Tarmidzi).
Sikap dan Pendirian Mukmin Dalam Menghadapi Fitnah dan Ibtila'
Setiap mukmin sejati harus menunaikan amanah dakwah. Manakala fitnah dan ibtila' pula merupakan sunnah dakwah. Oleh itu setiap da'I mestilah menyedari bahawa kehidupan di dunia adalah medan ujian bukan pembalasan. Maka sikap yang akan lahir ketika berhadapan dengan fitnah dan ujian adalah sikap yang positif penuh optimis dan bukannya keluh kesah, putus asa dan pesimis. Di antara sikap yang ideal sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para pewarisnya adalah:
Syukur.
Seorang da'I harus bersyukur ketika menghadapi ujian. Dia menerima ujian ketika sedang menjalankan amanah Nya dan ketika mewarisi jejak para Nabi dan Rasul dalam tugas yang amat mulia. Sementara di sana masih ramai manusia yang menderita dan terseksa dalam menggapai dunia atau memperjuangkan ideologi batil. Sekali lagi seorang da'I harus bersyukur, ketika dia disakiti dan dizalimi sesungguhnya beruntunglah para du'at kerana dia menjadi orang yang mazlum (dizalimi) dan bukan yang zalim.
Sabar.
Seorang da'I juga mesti sabar dalam menhadapi fitnah dan ibtila'. Perjuangan mereka selama ini semuanya dalam rangka merebut redha Allah semata-mata. Itulah syurga Allah. Firman Allah SWT:
"Apakah kamu menyangka akan masuk syurga padahal Allah belum tahu siapa yang berjuang di antara kamu dan sabar dalam perjuangannya." (Ali 'Imran: 142).
Sabar yang dimaksudkan di sini bukanlah sabar yang bererti pasif iaitu dengan menerima dan rela terhadap kezaliman tetapi sabar di sini adalah bersifat aktif dengan tetap berjalan di atas khittah perjuangan, keiltizaman yang tinggi dengan prinsip dakwah, tidak peduli dengan ejekan dan cemuhan, cercaan, siksaan, dan bentuk-bentuk fitnah yang lain. Syukur dan sabar inilah yang sepatutnya tertanam dalam jiwa mukmin. Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya aneh persoalan seorang mukmin! Semua permasalahan adalah baik baginya. Hal ini tidak dimiliki kecuali oleh orang-orang mukmin. Jika dia mendapat kebaikan dia bersyukur dan kesyukurannya ini lebih baik baginya; dan jika ditimpa kesusahan dia pun bersabar, dan kesabarannya ini lebih baik baginya." (HR Muslim).
Optimis.
Seorang da'I mesti sentiasa optimis bahawa masa depan adalah milik al-haq (kebenaran) walau betapa kuat pun kebatilan. Kalau kemenangan itu tidak diperolehinya di dunia maka di akhirat pasti diperolehinya serta generasi yang akan datanglah menikmati kejayaan Islam. Allah telah menjanjikan kemenangan kepada hamba-hamba Nya yang tertindas:
"Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di muka bumi itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka sebagai pewaris bumi. Kami akan kukuhkan kedudukan mereka di muka bumi, lalu Kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman serta tenteranya apa yang selama ini mereka takuti." (Al-Qashash: 5-6)
"Wahai rabb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai rabb kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya rabb kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kepada kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (Al-Baqarah: 286)
Sesungguhnya tiada kekuatan kami kecuali dari Mu ya Allah!. Engkau Yang Maha Gagah Lagi Perkasa.
sumber : paksi.net
0 comments:
Post a Comment