Sebenarnya, fiqh ikhtilat ini telah lama dibicarakan oleh tokoh besar umat Islam, iaitu Dr. Yusuf Al-Qardhawi hafizhahullah dalam kitab Fatawa Mu'asirahnya. Perbahasan yang telah dikemukan oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi sangat jelas dan bertepatan dengan keadaan dan masa serta kesesuaian peredaran zaman yang kita lalui ini.
"..Setiap perkara yang membawa kepada haram, maka ia adalah haram..."
Ikhtilat Moden
Sepertimana yang kita ketahui, di zaman Baginda SAW tiada alat perhubungan, e-tools dan sebagainya seperti mana yang berlaku di zaman sekarang. Melihat kepada situasi ini, ada juga para ulamak yang mengkategorikan percampuran secara alam maya ini sebagai ikhtilat yang diharamkan, yang bukan didasari oleh keperluan, maslahah, dharurat dan sebagainya melibatkan syarak. Anda duduk di hadapan laptop, atau memegang handset, atau seumpamanya, berbual mesra dengan sms-sms pelik, atau chit-chat yang pelik secara beramai-ramai, maka hal ini adalah diharamkan sama sekali. Tiada bezanya sekiranya anda di luar alam maya mahupun anda di alam maya/internet. Hal ini mendatangkan kehendak syahwat dan saya memukul rata hal ini kerana lazimnya, remaja atau muda-mudi sangat-sangat mudah teransang syahwat mereka dengan perkara-perkara pelik seperti mana yang saya katakan tadi. Antaranya ber"sayang-sayang", atau bertukar-tukar gambar yang tidak menutup aurat dan sebagainya. Ini juga saya kategorikan sebagai ikhtilat moden yang diharamkan. Zahirnya kita tidak melihat percampuran, tetapi sebaliknya dan sebenarnya berlaku percampuran tapi di dua "benua" yang berbeza jaraknya.
Belajar : Bolehkah berlaku percampuran?
Begitu juga apabila membicarakan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram semasa belajar. Hal ini telah dibahaskan oleh sebilangan besar ulama' Islam. Ada yang mengharamkan percampuran di dalam kelas secara mutlak, ada yang mempertimbangkan kedudukan dan susunan, ada juga yang menggunakan kaedah yang saya sebutkan tadi (sadd al-zari'ah) yaitu menutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada fitnah. Dengan menghormati semua ulamak dan pandangan-pandangan mereka, saya akan bawakan beberapa dalil yang menjadi hujjah kepada pengharaman bergaul semasa belajar/percampuran. Dalil yang digunakan antaranya adalah dari Hadith Said Al-Khudri yang berbunyi begini,. Hal ini boleh dilihat di dalam Kitab Dr. Abdul Karim Zaidan, Jilid 3, m/s 431 :
"..Perempuan berkata kepada Nabi SAW : Golongan lelaki mengatasi kami ke atas kamu (orang lelaki sentiasa bersamamu mendengar hal-hal agama). Tentukan bagi kami satu hari bersamamu (untuk mendengar dan belajar), lalu Baginda menentukan satu hari untuk bertemu (mengajar) golongan perempuan, maka Baginda menasihati dan mengajar mereka. Di antara nasihat Baginda SAW kepada mereka : "..Sesiapa antara kamu golongan perempuan yang menyerahkan 3 anaknya untuk perang jihad dan anak itu mati syahid, pasti anak-anak itu menjadi penghalangnya dari api neraka. Seorang wanita berkata, kalau 2 orang? Baginda bersabda : walaupun 2 orang..."
Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perempuan hendaklah diasingkan tempat belajar daripada lelaki. Sekiranya perkara ini dibolehkan, maka, tidak terjadi pula wanita tersebut meminta Baginda menentukan satu hari bagi pihak mereka untuk mendengar kuliah agama Baginda SAW.
Namun setelah diteliti hadith ini secara tepat dan mendalam, didapati ianya tidak boleh dijadikan dasar kepada pengharaman percampuran antara lelaki dan perempuan semasa belajar. Hujjahnya adalah kerana "ghalabana 'alaika ar-rijal" (lelaki mengatasi kami ke atasmu). Maksudnya secara umum,secara tabiatnya, lelaki sentiasa bersama Rasulullah SAW dan para wanita tidak mampu berbuat demikian atas sifat-sifat mereka yang terbatas dan fungsi mereka sebagai wanita. Ertinya, permohonan ini dibuat bukan atas dasar tegahan Baginda, tetapi, atas dasar sifat-sifat wanita yang menghalang mereka untuk sentiasa bersama Rasulullah, dan demikian itulah mereka meminta hari khusus untuk wanita sahaja di mana mereka boleh bersiap dan bersedia lebih awal dari segi masa, tanggungjawab mereka dan lain-lain.
Namun, kaedah pengharaman ini sebenarnya bergantung kepada satu kaedah fiqh yang saya sebutkan di atas tadi iaitu "Sadduz Zarai'ek". Melihat kepada situasi sekarang ini, remaja kini lebih banyak dipengaruhi dengan ransangan seks dan sebagainya, maka ramai ulamak yang mengambil kira bahawa perkara ini membahayakan. Jika kita lihat di sekolah-sekolah kebangsaan contohnya, ada antara mereka yang memakai baju sekolah sehingga menampakkan bentuk tubuh, ada yang jarang bajunya, dan sesetengah tempat pula tidak mengharamkan pakaian yang tidak menutup aurat seperti di sekolah jenis campur. Pelajar cinanya yang berskirt dan sebagainya. Maka dengan inilah para ulamak mengharamkan percampuran berlaku semasa belajar. Oleh itu, pengasingan tempat oleh beberapa negara seperti di Mesir, dan negara-negara Islam lain berpandukan kaedah ini.
Dharurat : Bagaimana?
Islam merupakan Din yang sangat mudah dan praktikal. Tiada paksaan yang diletakkan di dalam Islam. Seringkali saya ditanya bagaimana pula jika pergaulan itu berlaku kerana dharurat yang tidak dapat dielakkan?
Menurut Al-Imam An-Nawawi rahimahullah taala dalam Syarah Sahih Muslim, beliau menyatakan tidak wujud atau tidak ada perbezaan yang berlaku samada di luar solat atau di dalam solat. Maksud beliau adalah, percampuran wanita dan lelaki tiada bezanya samada ketika menunaikan solat mahupun semasa bekerja, berprogram dan sebagainya. Namun, Imam Nawawi membuka ruang untuk perkara-perkara yang dharurat serta mendesak.
Saya bawakan contoh di sini, sekiranya seseorang wanita itu pulang berseorangan dan diketahui umum bahawa kawasan yang dilaluinya berbahaya atau beliau akan terdedah kepada bahaya/ancaman jahat lelaki dan sebagainya, maka, di sini Al-Imam Nawawi mengatakan boleh seseorang lelaki yang bukan mahramnya menemaninya seketika bagi membantu, atau menjadi perisai sementara buat wanita tadi. Pokoknya adalah, kerana dharurat, dan niat lelaki tadi.
Keperluan/Ihtajiyyat Dalam Percampuran
Apabila menyebutkan perkara yang memerlukan kepada sesuatu hajat, sepertimana yang saya sebutkan di awal perbincangan tadi, maka, ikhtilat di sini dibolehkan, yakni dengan keperluan syari'e. Hal ini telah disebut oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi. Antara yang disebut beliau adalah :
1)Urusan Harta - Muamalah Maliyah
2)Urusan pekerjaan
3)Urusan penyaksian seorang wanita (menjadi saksi bagi sesuatu kes mahkamah)
4)Urusan dalam kenderaan (terpaksa bersempit-sempitan)
Sekiranya ditanya mengapa hal di atas dibolehkan, saya mengambil satu contoh bagi kes ke-2 iaitu Amirul Mukminin Umar Al-Khattab telah melantik seorang wanita sebagai penguatkuasa di sebuah pasar, dan kerja ini memerlukan kepada perbincangan, percakapan, pergalan antara dia dan para pekerja di pasar yang kebanyakannya lelaki. Namun perlu dilihat di sini mengapa Umar melantik wanita tersebut. Perlantikan ini dibuat bagi mengelakkan penyelewengan yang mungkin berlaku semasa berjual beli. Hal ini disebutkan oleh Al-Ima Ibnu Hazm rahimahullah dalam kitabnya Al-Muhalla, Jilid 9, m/s 429) Nama wanita yang dilantik oleh Umar adalah As-Syafiy. Namun, harus jelas kepada kita, walaupun di tempat kerja yang memerlukan perlbagai komitmen yang tinggi, tanggung jawab yang besar dalam menguruskan sesuatu hal yang memerlukan percampuran, perlu diingatkan di sini bahawa sekiranya dapat dielakkan, maka ianya adalah lebih baik dan sekiranya tak dapat dielakkan, maka, jagalah pandangan sesama lelaki dan perempuan agar tidak terpanah oleh panahan iblis. Pakaian, cara bercakap juga perlu dititik beratkan agar kita dapat menghindari perkara-perkara yang membawa kepada syahwat.
Khalwat dan Iktilat
Harus difahami di sini, khalwat berbeza dengan ikhtilat. Khalwat lazimnya adalah berdua-duaan sesama lelaki dan perempuan. Manakala ikhtilat berlaku antara 3 atau lebih dalam satu majlis atau perkumpulan.
Kesimpulan
Pada dasarnya, ikhtilat adalah haram kecuali apabila datang kepada kita beberapa perkara seperti dharurat, kemasalahatan, keperluan, dan kebiasaan adat setempat seperti kenduri atau majlis keramaian dengan SYARAT kita perlu menjaga batas-batas syariat seperti mana yang saya sebutkan tentang pakaian, menundukkan pandangan dan sebagainya. Maka ikhtilat ini dibolehkan dan diharuskan.
Wassalam
Dr. Nik Mohd Abduh B Nik Mhd Nor
Fakulti Perubatan Zagazig, Mesir
0 comments:
Post a Comment