Oleh : Nik Mohd Abduh Ibn Nik Mhd Nor
Berkata Ibn ‘Umar: “Kami masuk kepada pemerintah kami, lalu kami berkata kepada mereka berbeza dengan apa yang kami cakap apabila kami keluar dari mereka...” Kata Ibn ‘Umar: “Kami dahulunya (zaman Nabi s.a.w) menganggap itu sebagai nifak (perbuatan munafik)….”
[HR. Al-Bukhari]
Pengampu kepada pemimpin sebenarnya telah mewarisi satu masalah hati iaitu nifak atau munafik yang mana sikap ini wajib dihindari. Menjadi pengampu kepada pemimpin bukan perkara baru bagi masyarakat kita hari ini kerana si pengampu akan menjadikan ampuannya sebagai periuk nasi kepada dirinya. Atau lebih teruk lagi, mereka mengampu pemimpin dengan tujuan untuk mendapatkan jawatan dan pangkat sekaligus membuatkan dirinya terkenal di mata masyarakat. Saya sebagai penulis melihat suasana ingin sebagai satu perkara yang amat serisu kerana, golongan ini hanya akan menyebabkan rapuhnya istitusi kepimpinan itu. Mari kita lihat contohnya. Sewaktu seruan jihad dilaungkan Baginda SAW, golongan-golongan munafik ini akan memberikan pelbagai alasan dan dengan bahasa mudahnya menanam tebu di tepi bibir. Setiap kata-kata yang ditaburkan indah belaka dan di saat kesusahan datang, dialah orang yang pertama akan melarikan diri. Mari kita lihat situasi golongan ini di zaman Baginda SAW dalam satu hadis sahih yang berbunyi :
Diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri r.a:
أن رجالا من المنافقين في عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم كانوا إذا خرج النبي صلى الله عليه وسلم إلى الغزو تخلفوا عنه وفرحوا بمقعدهم خلاف رسول الله صلى الله عليه وسلم فإذا قدم النبي صلى الله عليه وسلم اعتذروا إليه وحلفوا وأحبوا أن يحمدوا بما لم يفعلوا فنزلت لا تحسبن الذين يفرحون بما أتوا ويحبون أن يحمدوا بما لم يفعلوا فلا تحسبنهم بمفازة من العذاب
"Pada zaman Rasulullah s.a.w orang munafik selalu tidak menyertai peperangan, malah mereka bergembira dengan sikap mereka tidak bersama Rasulullah s.a.w. Apabila Nabi s.a.w kembali, mereka mengemukakan berbagai alasan kepada baginda sambil bersumpah dan mengharapkan pujian terhadap apa yang mereka tidak lakukan. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat : Jangan sekali-kali engkau menyangka wahai Muhammad bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang telah mereka lakukan itu dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, maka jangan kamu sangka mereka akan terselamat dari seksa "
[HR Muslim]
Mereka yang bersikap begini selalunya akan belot di waktu kegentingan melanda atau seperti mana yang digambarkan baginda SAW yang mana golongan munafik melakukan pembelotan dalam peperangan sebagaimana perang Uhud. Di dalam sebuah riwayat dari Zaid bin Thabit r.a :-
أن النبي صلى الله عليه وسلم خرج إلى أحد فرجع ناس ممن كان معه فكان أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم فيهم فرقتين قال بعضهم نقتلهم وقال بعضهم لا فنزلت فما لكم في المنافقين فئتين
"Ketika Nabi s.a.w keluar ke peperangan Uhud, sebahagian daripada tentera yang mengikuti baginda membelot menyebabkan para sahabat menjadi dua pasukan. Sebahagian daripada para sahabat berkata: Kita akan membunuh mereka, manakala sebahagian lagi berkata: Kita tidak boleh membunuh mereka. Lalu Allah s.w.t menurunkan Ayat 'Yang bermaksud: Maka apakah yang menyebabkan kamu berpecah menjadi dua golongan kerana kaum munafik itu…."
Di suatu masa nanti, orang-orang kafir dan Munafik akan keluar dari Madinah untuk menemui Dajal. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda:
ليس من بلد إلا سيطؤه الدجال إلا مكة والمدينة وليس نقب من أنقابها إلا عليه الملائكة صافين تحرسها فينزل بالسبخة فترجف المدينة ثلاث رجفات يخرج إليه منها كل كافر ومنافق
"Tidak ada negara (dalam dunia) melainkan akan dipijak (dilanda) oleh Dajal kecuali Mekah dan Madinah kerana setiap jalan dan lereng bukit dijaga oleh barisan Malaikat. Oleh itu Dajal akan turun (berhenti) di satu kawasan bernama Sibkhah (tanah kering lagi masin) maka Madinah bergegar sebanyak tiga kali, kemudian semua para Kuffar (orang kafir) dan para Munafik keluar dari Madinah menemui Dajal..."
(HR. Muslim)
Beginilah sikap pengampu yang dilabelkan Baginda SAW sebagai golongan munafik yang hanya akan meracuni sesebuah organisasi. Walaubagaimanapun, Baginda SAW telah menggariskan beberapa “hint” kepada kita untuk mengenali golongan ini. Hal ini disebut oleh dalam beberapa hadis riwayat Imam Muslim rahimahullah dalam kitab sahihnya yang berbunyi :
Hadis Abdullah bin Amru r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda :
أربع من كن فيه كان منافقا خالصا ومن كانت فيه خلة منهن كانت فيه خلة من نفاق حتى يدعها إذا حدث كذب وإذا عاهد غدر وإذا وعد أخلف وإذا خاصم فجر
"…Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia mengkhianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas…."
(HR. Muslim)
Sikap lembut lidah dari sutera ini menyebabkan ramai pemimpin termakan dengan kata-kata golongan ini. Di hadapan pemimpin, apa sahaja sanggup dilakukan. Kata-kata manis dan janji-janji manis yang ditaburkan di hadapan pemimpin hanya akan tinggal tersisa apabila sesuatu yang dijanjikan datang dan menimpa sang pengampu tadi. Inilah barah yang menghantui diri kita…!
Sikap mengampu atau berbaik-baik dengan pimpinan atas tujuan tertentu merupakan sesuatu yang sangat tercela dan terbabas jauh daripada tuntutan syarak. Melalui pengalaman-pengalaman bekerja di bawah Non-Government Organizations (NGO), saya dapati perkara ini telah menjadi darah daging kepada sesetengah individu yang ingin dikenali ramai orang menggunakan jalan “short cut” dan ingin memegang sesuatu jawatan tanpa kelayakan. Hal amat serius dan ia akan membarah sekiranya golongan ini dibiarkan terus merayap di sekeliling institusi kepemimpinan atau lebih mudah lagi penyakit ini ibarat kanser payu dara yang tidak dirawat seawal mungkin yang hanya akan menyebabkan kematian kepada pesakitnya setelah keadaan menjadi terlalu parah. Jatuh bangun sesebuah institusi pemimpin bergantung kepada ikhlasnya mereka bekerja dan saling bergandingannya mereka dalam melaksanakan sesuatu agenda atau menguruskan sesuatu perkara.
Sang pengampu kebiasaannya akan menggunakan apa sahaja cara untuk mendapatkan sesuatu yang mereka ingini. Contohnya, mereka akan mendampingi para pemimpin setiap masa dan menjadikan dirinya seolah-olah individu penting dalam setiap perkara walaupun pada hakikatnya pemimpin tersebut tidak pun memerlukan dirinya. Dan, sebenar mereka tidak pun mempunyai kelayakan pun untuk memiliki sesuatu jawatan ataupun tempat dalam sesuatu organisasi. Sikap pengampuan ini akan muncul dan terserlah tatkala golongan ini mendapati terdapat ruang dan peluang untuk dirinya mencapai sesuatu contohnya dalam perebutan jawatan. Mereka tidak pun sedar bahawa diri mereka tidak layak, namun, apabila kehendak hati menguasi segalanya, apa pun yang dilakukan tidak terbatas kepada jalur-jalur syarak. Golongan yang layak diangkat adalah mereka yang cerdik, ahli ilmu dan berpengalaman. Bukannya yang menjaja nama dan kebaikan dirinya serta kelebihan-kelebihan yang ada pada dirinya supaya pemimpin termakan dengan kata-katanya dan terpengaruh “appearance”nya.
Ikhlaskanlah Dirimu..!
Menjadi satu kewajipan bagi setiap individu untuk melaksanakan sesuatu perkara ikhlas kerana Allah. Dalam ibadah, kita diminta untuk membersihkan hati kita daripada sifat Nifak dan mengambil kesempatan. Begitu juga dalam kita berorganisasi atau dalam kita bergaul denga para pimpinan. Sikap menangguk di air keruh adalah salah satu faktor pencemar dan pelumpuh sesebuah gagasan sesebuah institusi atau organisasi.
Antara lain yang disebut oleh Rasulullah SAW adalah golongan ini akan memperlihatkan kehebatannya di hadapan para pemimpin agar mudah mendapat sanjungan, kepercayaan dan mudah dikenali oleh mereka. Kepetahan bercakap dan kelunakan suara serta “kethiqahan” yang melampau di hadapan pemimpin selalunya menjadi bahan pemudah cara untuk mencapai matlamat dan hasratnya. Inilah yang diisyaratkan dan diibaratkan oleh sesetengah orang-orang muda masa kini, “Pijak semut pun tak mati…!!” Apakah wajar sikap ini diwarisi dan apakah tindakan yang perlu kita ambil bagi menasihati golongan ini?
Di samping itu juga, ada sesetengah mereka yang suka menyelinap bagaikan sang buaya yang ingin menangkap mangsanya. Apabila ada perjumpaan atau keramaian yang dihadiri oleh para pemimpin, beliau akan menonjolkan kehebatan dirinya dan akan cuba menenggelamkan orang lain di hadapan pemimpin. Hal ini akan menyebabkan pemimpin tadi hanya nampak kebaikan pada dirinya dan kelemahan pada diri orang lain. Ada juga di kalangan mereka yang menjadi kaki pengangguk kepala dalam setiap perkara yang dikeluarkan oleh pemimpin tidak kira ianya menyalahi syarak ataupun tidak. Secara idealistiknya, apabila mereka nampak akan kesalahan-kesalahan pemimpin. Mereka tidak pula menasihati mereka dan adakalanya menelan sahaja asalkan dirinya tidak terbuang atau tersisih.
Nabi s.a.w. apabila ditanya: "Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di jalan Allah….”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW bersabda : “…Tiga perkara yang menyelamatkan hati seseorang Muslim dari kedengkian: Ikhlas dalam beramal kerana Allah, menasihati penguasa dan komitmen dengan jamaah kaum Muslimin…”
(HR. Imam Ahmad)
Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:
“Taat kepada Allah dan Rasul-Nya wajib bagi setiap Muslim, taat kepada penguasa merupakan penguat ketaatan kepada Allah. Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasulnya dengan menjalankan ketaatan kepada penguasanya, pahalanya dijamin oleh Allah. Tetapi kalau taat kepada penguasa dalam hal-hal yang menguntungkan sahaja, bila diberi hal yang memenuhi kepentingannya ia taat dan sebaliknnya jika tidak diberi dia tidak akan taat, orang yang seperti itu pada hari akhirat tidak punyai bahagian (pahala)…”
(Majmu’ al-Fatawa. 35/16-17)
Untuk itu, marilah kita sama-sama memuhasabah diri kita agar kita tidak termasuk di dalam golongan yang saya sebutkan sebentar tadi. Semoga Allah mengampuni diri saya dan setiap yang baik itu daripada-NYA dan yang buruk itu adalah dari kelemahan diri penulis. Raihlah keredhaan Allah dan hindarilah puji-pujian yang berlebihan kerana puji-pujian hanya akan membuatkan kita lupa dan lalai pada-NYA.
1 comments:
Salam 'alaik,
Akh apa kaba?
Lama tak update blog?
Tapi skrg tak lagi eh... =)
Post a Comment