Usul vs Furu'..Tahniah UZAR..!

Saya mengucapkan tahniah kerana pihak berwajib yang bersungguh melaksanakan etika sebegini. Namun sudah pasti di zaman kerosakan akhlak dan kebanjiran masalah sosial ini, pelaksanaan etika ini akan dilihat PELIK, JANGGAL, ZALIM dan pelbagai lagi.

Bagi mereka yang ingin membaca hujjah lanjut saya dalam hal ini, anda boleh membaca di artikel berikut :-

1) Aurat Wanita : Apa Sudah Jadi?

2) Dilema Aurat Wanita Bekerja & Suami Nusyuz

3) Suami & Lelaki Dayus

Bagi mereka yang memahami Islam dari sumber yang sohih, ia tidak pelik sama sekali malah tepat sekali terutamanya di waktu wanita keluar bekerja.

Sabda Nabi s.a.w :-

إن الإسلام بدأ غريبا وسيعود غريبا كما بدأ

Ertinya : Sesungguhnya Islam dahulu datanag dalam keadaan asing, dan ia akan kembali semula dalam keadaan yang dilihat asing" (Riwayat Muslim)

Al-Qadhi ‘Iyadh mengulas bahawa di waktu Islam muncul dahulu, ia hanya diamalkan oleh sebilangan kecil pengikut, justeru ajaran-ajarannya dilihat begitu pelik dan asing dari kebiasaan masyarakat Jahiliyyah, kemudian Islam tersebar luas di seluruh dunia. Sesudah itu, semakin ramai yang akan culas dari ajaran Islam sehingga Islam tidak diamalkan kecuali oleh sedikit manusia sahaja. Tatkala itulah kumpulan yang ingin dan telah mengamalkan Islam AKAN DILIHAT BEGITU PELIK oleh si Jahil, munafiq dan kafir yang merupakan majoriti.

Lorong dakwah manakah patut diambil?

Inilah yang saya kira akan berlaku kepada usaha kerajaan Kelantan yang ingin melaksanakan etika aurat ini. Pasti ramai yang akan mengecilkannya dari kelompok yang telah saya sebutkan di atas.

ISU REMEH SAHAJA

Tidak kurang juga ada yang mengutuk usaha Kelantan ini sebagai usaha yang sangat kecil dan meninggalkan priority. Tidak berbaloi, ranting dan lain-lain. Jika berjaya, ia kejayaan remeh, demikianlah kesimpulan yang lahir dari minda si pengkritik.

Saya teringat, ketika saya muncul secara ‘live' di RTM 1 sekitar sebulan lepas membicarakan persoalan harta dan pendapatan syubhat dalam urusan kewangan harian, ada seorang pemanggil yang saya tidak pasti ingin bertanyakan soalan atau memberikan pandangan. Individu yang bertanya itu berkata : "Bukankah isu yang sedang kita bincangkan ini hanya isu ranting, malah banyak lagi isu besar yang patut dibincang..bla bla bla.."

Itulah point utama komennya, ia seolah-olah tidak puas hati kerana kononnya kami membuang masa membincangkan perkara ranting, meninggalkan perbincangan hal besar dan usul. Panjang jika saya ingin mengulas benar-benar, namun cukuplah saya katakan, adakah anda faham apa itu ranting dan usul? Sebenarnya isu harta haram ini bukan isu ranting bahkan ia isu usul dan kekal pengharamannya sehingga hari kiamat. Malah ia memberI kesan kepada seluruh system iman dan nilai seseorang sebagaimana hadis nabis.a.w yang telah banyak saya perkatakan sebelum ini. Demikian juga isu aurat dan zina. Selain itu, ingin saya tegaskan sikap sombong dan besar diri beberapa individu yang ‘kononnya' merekalah juara dalam isu besar dan usul sehingga memperkecilkan kerja dan usaha baik orang lain. Sikap ini perlu dijauhinya sama sekali.

Benar, saya selalu mendengar kutukan dari satu pihak terhadap usaha kebaikan Islam yang cuba dilakukan oleh pihak lain hanya kerana kononnya ia isu kecil dan ranting. Lalu diikuti kutukan itu dengan merendah-rendahkan tugasan dan usaha yang dilakukan. Ia tidak sama sekali dari cara Islam.

TIADA DAKWAH MELAINKAN DENGAN BERPOLITIK KEPARTIAN?

Samalah juga dengan mereka yang berjuang Islam melalui sesuatu paltform, akan memperkecilkan usaha dakwah pendakwah LAIN YANG TIDAK melalui wadah yang sama dengan mereka. Sebagai contoh, kerap kita lihat kejumudan minda beberapa individu yang berjuang Islam melalui politik kepartian, lalu diremeh dan dikutuk semua yang tidak berjuang Islam melalui politik secara terangan seperti mereka. Dicemuh kononnya ‘tercicir' dari jalan dakwah. Apa mereka ingat dakwah itu khas buat mereka, tertipu sungguh mereka dengan permainan perasaan oleh Syaitan.

Astagfirullah, tidak sedarkah mereka ia satu penyakit ‘ujub dan merasa diri hebat dengan jalan perjuangan itu. Memperjuangkan Islam punyai cara yang amat luas dan pelbagai, tidak perlu semua mengikuti rentak dan cara yang sama, kaedah perlu di pelbagai sesuai dengan kumpulan sasaran. Bahkan berjuang Islam melalui politik kepartian itu sendiri amat luas skopnya, dan bukan hanya dengan berterus terang sebagai ahli atau pimpinan parti tertentu. Berceramah di musim pilihanraya atas pentas, berdemontrasi aman, menyerah memorandum, mengulas isu politik kapartian dengan terus terang dan lain-lain atas nama parti. Inilah sahaja yang dikategorikan 'berani' dan 'berjuang Islam' oleh segelintir mereka.

Kita dapat lihat di zaman ini, begitu ramai ulama berperanan walaupun tanpa komit dengan parti politik kepartian tertentu. Seperti Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhayli, Dr Ramadhan Al-Buti dan ramai lagi. Buku tulisan mereka, kertas kerja pembetangan mereka tersebar seluruh dunia dan dimanfaatkan oleh kawan dan lawan, berparti dan tidak berparti.
Tidak dinafikan ramai juga yang mengambil jalan politik kepartian seperti Syeikh Dr. Abdullah Azzam, Dr Muhd Abu Faris, Syeikh Dr Hammam Sa'id dan lain-lain. Justeru kedua-duanya cara dan kaedah punyai faedah dan kelebihan masing-masing, menafikan usahakan kedua-dua cara adalah KEJAHILAN yang menyedihkan.

Apa yang penting untuk difahami, biarlah setiap orang berjuang dengan cara mereka. Anda tidak tahu manakah yang lebih utama, berjasa dan lebih ikhlas di sisi Allah swt. Ada yang berjuang Islam melalui politik, teruskan. Ada mengambil jalan akademik, ada yang ikuti jalan NGO, korporat, motivasi, sekolah, tadika, menyediakan perniagaan dan makanan halal dan lain-lain. Setiap satu melengkapi antara satu sama lain. Mana yang terbaik di sisi Allah?, ia bergantung kepada dalaman, usaha bersungguh dan keikhlasan si pendakwah.

Allah swt berfirman :-

قُلْ كُلٌّ يَعْمَلُ عَلَى شَاكِلَتِهِ فَرَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَنْ هُوَ أَهْدَى سَبِيلاً
Ertinya : Katakanlah: ""Tiap-tiap orang berbuat amalan menurut keadaannya masing-masing"". Maka tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya" ( Al-Isra : 84 )

Ibn Abbas menyatakan erti "syakilatihi" dalam ayat ertinya " sudut masing-masing", manakala sebahagian lain mengatakan berdasarkan niat masing-masing( At-Tabari, 15/154 ; Al-Qurtubi, 10/322)

Buat pihak yang suka dan berhasrat untuk mengutuk kerja dan usaha baik orang lain, sedarilah anda sebenarnya sedang MELAKUKAN DOSA dan menjauhkan orang dari Islam dan hidayah Allah. Disebutkan dalam sebuah hadis :-

‏لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن ‏ ‏تلقى أخاك ووجهك منبسط

Ertinya : "Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) , walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranya dengan wajah yang senyum dan riang.." ( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 )
Justeru, apa jua kebaikan yang mampu diusahakan oleh seseorang, kita ditegah untuk memperlecehkannya.

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

24 Jun 2008

1 comments:

zaini_jb said...

Slm,

Mabruk to UZAR!