Marilah Menuju Usrah Yang Muntijah..

Assalamualaikum..



Semasa saya hendak memulakan coretan saya pada kali ini, saya terfikirkan, perlukah saya menggunakan terma-terma arabic untuk memperjelaskannya kepada pembaca. Namun, hati saya memberikan satu titik noktah, adalah lebih elok saya mengelakkan menggunakan terma-terma arab bagi memudahkan pembaca memahami apa yang saya maksudkan. Saya teringat pada satu kata-kata Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna rahimahullah yang telah berpesan kepada ribuan ikhwani sebelum beliau ditembak dan mati syahid. Kata-kata ini sangat popular dan selalu meniti di bibir para ikhwani di Indonesia dan khususnya di negara tertubuhnya ikatan persaudaraan ini, Mesir. Kata-kata masyhur ini saya petik sebagai yang berikut :

“…sistem usrah sangat bermanfaat bagi kita dan berguna bagi dakwah..Dengan daya dan kekuatan dari Allah SWT, sistem ini akan mampu menghimpun kalangan anggota Ikhwan yang tulus, memudahkan hubungan antara mereka kepada teladan dalam dakwah, memperkukuhkan ikatan persatuan mereka, dan mengangkat persaudaraan mereka daripada bualan kata-kata dan teori kepada tingkatan operasi..”

Meneliti kata-kata As-Syahid ini, menyedarkan kita bahawa, tidak dapat tidak, jatuh bangunnya sesebuah institusi dakwah yang bertunjangkan ikatan persaudaraan sesama Muslim lebih-lebih lagi mereka yang berkecimpung dalam dunia harakah islamiyyah harus bermula daripada satu titik nucleus, iaitu Usrah. Maraknya perkumpulan-perkumpulan kecil ini, atau halaqah ini di universiti-universiti dan kampus-kampus serta sekolah-sekolah adalah fenomena yang sangat sihat dan wajar diteruskan. Usrah yang muntijah merupakan platform yang sangat efektif kepada gerakan Islam untuk meramaikan lagi para rijal yang sanggup berjuang di jalan Allah SWT. Tidak dapat dinafikan lagi, usrah memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hala tuju dakwah masakini. Bagi yang benar-benar memahami apa itu usrah, mereka akan meyakini bahawah usrah merupakan bilik gerakan kepada sesebuah pergerakan Islam. Usrah merupakan mimpi ngeri buat para musuh-musuh Islam kerana mereka tahu, daripada lingkaran inilah lahirnya ramai manusia yang sanggup mati di jalan Allah memperjuangkan agamanya.

USRAH YANG MUNTIJAH

Apabila memperkatakan tentang usrah yang muntijah, eloklah kiranya ana terjemahkan dahulu apakah maksud usrah dan apakah takrif muntijah itu sendiri.

Usrah merupakan kelompok manusia yang ikhlas kerana Allah taala yang ingin mengetahui tentang Islam dan beramal dengannya secara serius. Pada bahasanya usrah merupakan keluarga manakala muntijah bermaksud sukses atau berjaya. Usrah merupakan lapangan untuk memperkukuhkan ukhuwwah Islamiyyah sesama saudara Muslim dan dari usrah inilah kita bersedia untuk menjadi batu-bata kepada sesebuah keluarga Islam yang sihat.
(Hassan Al-Banna, Nizhamul
Amru Wa Risalatu At-Ta'alim)

Teringat saya pada satu kata-kata Al-Imam Mustafa Masyhur rahimahullah :

"..eksistensi/kewujudan usrah tidak mungkin berakhir walaupun daulah Islamiyyah sudah tertegak.."

Lihatlah betapa seriusnya para ikhwani memandang institusi usrah ini. Mereka menjadikan usrah sebagai sebahagian perjalanan hidup mereka yang tidak boleh dipisahkan oleh suatu apapun. Walaupun sekiranya sudah tertegaknya daulah Islamiyyah, lapangan usrah ini tetap akan diteruskan kerana mereka tahu, betapa pentingnya usrah dalam melahirkan generasi-generasi Rabbani dan generasi Al-Quran yang mampu memimpin daulah Islamiyyah dan mempertahankannya sekiranya diserang dan diancam. Walau bagaimana sibuk sekalipun kita, kita tidak boleh menyurutkan perhatian kita terhadap halaqah/usrah. As-Syeikh Muhammad Abduh pernah berkata :

"..Kecemerlangan Islam itu ditutupi oleh kebodohan umatnya sendiri..."

Sekiranya anda marah dengan kata-kata ini, anda juga tergolong daripada apa yang dimaksudkan oleh Syeikh Muhammad Abduh. Lihat sahaja kebodohan yang semakin melata kala ini. Umat Islam semakin ketandusan ilmu, zina semakin berleluasa, pencabulan di mana-mana, curi, rogol, bunuh dan sebagainya telah menjadikan Islam yang sangat indah ini ditutupi dan diselubungi oleh karat-karat hitam itu tadi. Oleh itu, usrah merupakan tempat atau pemula kepada solusi masalah kebodohan umat kita ini. Saya juga merasakan diri saya antara mereka yang dimaksudkan oleh As-Syeikh Muhammad Abduh kerana banyak masa saya yang dihabiskan bukan untuk dakwah dan agama ini, akan tetapi lebih banyak kepada hiburan yang semakin melampau-lampau. Oleh itu, bagi mengikis "kebodohan" yang dimaksudkan oleh syeikh, tidak dapat tidak kita mesti memasyarakatkan usrah dan mengusrahkan masyarakat Islam. Bukan mudah untuk melahirkan kecintaan masyarakat terhadap usrah, namun, segala kudrat yang ada haruslah dipergunakan agar kita mampu melihat keberhasilannya suatu hari nanti.

RUKUN-RUKUN
  • Taaruf - Saling berkenalan antara sesama ahli usrah.
  • Tafaahum - Saling memahami antara satu sama lain.
  • Takaaful - Saling membantu antara sesama ahli usrah.
Tiga perkara di atas telah disebut Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna dalam bukunya Al-Usrah wa Ad-Dakwah serta Nizhamul Amru Wa Risalatu At-Ta'alim dan perkara yang sama juga diulas lebih mendalam oleh Dr.Ali Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya Perangkat-Perangkat Dakwah Al-Ikhwanul Muslimin versi Indonesia. Saya belum menemui versi Bahasa Malaysianya. Untuk mendapatkan ulasan yang cantik lagi menarik, buku Perangkat-Perangkat Dakwah IM perlu dibeli dan dihadam. Di dalam tu juga menceritakan perjalanan hidup tokoh-tokoh IM dan juga bagaimana perjalanan muktamar-muktamar IM serta marahil dalam tarbiah IM.

MEMUNTIJAHKAN USRAH

Bagi merealisasikan impian ini, para dai dan mereka yang terlibat secara langsung dengan usrah perlu memainkan peranan penting mengefektifkan usrah dengan kepelbagaian yang ada. Mencetak dan melahirkan kelibat-kelibat baru dalam dakwah ataupun Anaasir At-Taghyir (Agen Perubah) hanya dapat dilakukan melalui usrah yang efektif dan berkesan. Ini bergantung kepada silibusnya, naqibnya, komitmen ahlinya serta bantuan daripada jamaah itu sendiri dan kepelbagaian bentuk usrah yang dibina..


KRITERIA-KRITERIA USRAH MUNTIJAH

  • Tercapai dinamisasinya, sehingga usrah yang dijalankan itu berlansung dengan keghairahan ahlinya untuk lebih menyintai lingkaran tersebut, lebih memahami dan mendalami apa itu Islam. Dengan kata lain, tidak membosankan dan tidak pula jemu. Bukan sekadar rutin mingguan.
  • Tercapainya produktiviti usrah tersebut, sehingga memungkinkan tercapainya matlamat dan tujuan usrah tersebut. Iaitu, melahirkan anasir atau agen perubah yang mampu mengislah masyarakat.

Mengapa saya katakan dinamisasi dan produktiviti menjadi asas kepada kayu ukur melihat keberkesanan sesebuah usrah? Ini kerana, usrah itu harus dilihat dari dua paradigma yang satunya adalah proses dan keduanya adalah tujuan. Kita tidak mampu mengukur kejayaan atau muntijahnya sesebuah usrah hanya melalui salah satu daripada dua paradigma tadi. Ianya saling bergantungan antara satu sama lain. Kerana proses yang betullah akan membawa kepada matlamat yang betul, dan proses ini bermula daripada usrah yang sangat dinamis, efektif, dan berkesan. Tercapainya produktiviti usrah tersebut adalah lambang kepada tercapainya matlamat usrah tadi.

Apabila terbaca buku karangan Al-Imam Mustafa Masyhur rahimahullah, Penyelewengan Jalan Dakwah, di bawah subtopik ilmu dan penyelewengan, beliau telah menggambarkan betapa hakikat terlalu banyak berlaku penyelewengan dalam disiplin ilmu, dan juga beliau telah menekankan bahawa memperolehi ilmu itu sepatutnya bukanlah hanya melalui pembacaan tanpa adanya perbincangan. Dan bagi ana, salah satu cabang memperolehi ilmu yang tulen adalah dengan berusrah kerana ahli-ahli usrah tidak diminta menghadam apa yang dibentangkan, sebaliknya diajak berfikir, dibincang secara ilmiah, dicari solusinya dan kadang-kadang sekiranya tidak mendapat jalan keluar, ianya dibawa ke pihak lebih atas. Mungkin sesetengah usrah tidak menjadikan perbincangan berat sebagai modulnya. Setiap usrah ada silibus dan modulnya tersendiri, sesuai dengan mustawa atau peringkat ahlinya. Seseorang yang tidak membincangkan sesuatu perkara bersama orang lain dibimbangi akan menjadi mufti tak bertauliah kepada dirinya dan juga kepada diri orang lain. Inilah kegelinciran yang mungkin berlaku sekiranya sesuatu ilmu itu tidak dihadam, dibincangkan sesama ahli, dimanfaatkan dan tidak diperbahaskan dalam usrah ataupun halaqah. Mari kita lihat apa yang ditekan Al-Imam Musfata Masyhur dalam makalahnya :

"..Kadangkala pula dia berpegang teguh sebab lahiriah satu-satu dalil dan tidak mahu menerima hujah dari seseorang. Di kala lain pula dia mudah terpedaya lantas menganggap dirinya telah sampai kepada darjah mujtahid lantas dengan beraninya mengeluarkan fatwa-fatwa hukum syara' di dalam beberapa perkara yang didedahkan kepadanya. Benarlah ada orang yang berkata: "Orang yang paling berani megeluarkan fatwa ialah orang yang paling kurang ilmunya." Lebih merbahaya dari itu ia berani pula merendah-rendahkan darjah imam-imam mujtahidin yang silam jika didapati pandangannya bertentangan dengan pandangan mereka atau sekurang-kurangnya dia berkata: "Mereka itu lelaki dan kita pun lelaki juga." Satu lagi tempat tergelincir ilmu iaitu apabila orang yang berjalan di atas jalan dakwah telah dikuasai oleh kelazatan dan keenakan ma'rifah nabi, dimabukkan oleh pembacaan dan mutala'ah semata-mata, sehinggakan jihadnya tertumpu di dalam bidang itu sahaja tanpa melibatkan dirinya lagi di dalam jihad dan amal yang lain yang dituntut oleh agama...
Akhirnya hatinya menjadi terlalu seronok dan khusyuk dalam membaca berbagai kitab dan berlumba-lumba membaca berbagai majalah yang dipenuhi makalah ilmiah semata-mata. Ini membuatkan dia leka dari memberi perhatian ke arah menyuburkan iman memperkuat jihad dan latihan dakwah Islam. Ini adalah membalik-songsangkan segala pertimbangan dan menyalah-gunakan pengertian yang menyokong usaha tolong menolong yang membawa hasil...."

bersambung...insyaAllah

3 comments:

Ummi Ammar said...

assalamualaikum

terima kasih dgn post anta..
minta lebih byk post ttg pengusrusan usrah..
sbb inSYALLAH..sy akan memulakan untuk membawa kelompok usrah..
smoga blog anta bole jadi rujukan sy

ukhti_no-name

Anonymous said...

Salam aleik..

mohon izin mengcopy-paste. Boleh ke?

wassalam

nik mohd abduh b. nik mhd nor said...

untuk kebaikan insyaAllah boleh..